Batal PSS: Kerajaan Negeri Sabah Akhirnya Akur Desakan Rakyat – Zahid

KUALA LUMPUR, 23 Jan – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin pembatalan Pas Sementera Sabah (PSS) sebagaimana yang diumumkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal adalah hasil desakan rakyat negeri itu yang merasakan PSS tidak harus dilaksanakan.

Sambil mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada kerajaan negeri Sabah, Dr Ahmad Zahid turut mengulangi pendiriannya yang berkata PSS tidak pernah dicadangkan oleh Barisan Nasional (BN) ketika menjadi kerajaan dahulu.

“Ini tidak terdapat dalam sebarang cadangan dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Sabah malah ketika Tan Sri Musa Aman selaku Ketua Menteri ketika itu dan saya Timbalan Perdana Menteri yang mempengerusikan bersama Mesyuarat Jawatankuasa Induk RCI PATI Sabah tidak pun mencadangkan bahawa PSS dilaksanakan di Sabah.

“Malah apabila Tan Sri Joseph Pairin Kitingan menjadi Pengerusi Jawatankuasa Teknikal untuk membuat rumusan terhadap kajian-kajian itu juga mendapati tiada satu pun minit mesyuarat atau cadangan untuk mewujudkan PSS,” ujarnya kepada media ketika ditemui selepas merasmikan Ibu Pejabat Parti Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) di Menara Dato’ Onn, di sini hari ini.

Hadir sama Presiden KIMMA Datuk Seri Syed Ibrahim Kader dan barisan kepimpinan parti.

Ulas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi, pembatalan tersebut juga merupakan hasil manifestasi suara rakyat dan kemenangan BN melalui calonnya Datuk Mohamad Alamin di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

“Maka langkah yang dilakukan oleh kerajaan negeri Sabah amat dialu-alukan dan tentunya ‘check and balance’ terhadap kemenangan Yang Berhormat Datuk Mohamad Alamin di Kimanis merupakan satu manifestasi bahawa suara rakyat yang menolak PSS ini turut didengar oleh kerajaan negeri.

“Dan mudah-mudahan selepas ini kita rapatkan pemikiran kita, barisan kita, ketepikan perbedaan-perbedaan sepanjang kempen pilihan raya kecil,” tambahnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.