Batal PSS Lambang Kejayaan Blok Pembangkang Bawa Suara Rakyat

KUALA LUMPUR, 22 Jan – Ketua Pembangkang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan kerajaan negeri Sabah membatalkan Pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) adalah satu lagi kejayaan blok pembangkang dalam menyuarakan hak rakyat.

Jelas beliau, secara tidak langsung ia juga membuktikan kempen yang digunakan oleh Barisan Nasional (BN) ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis adalah tepat dan ia bukan satu propaganda politik.

“PSS ini bukan satu agenda politik tetapi ia adalah demi keselamatan dan masa hadapan anak bangsa Sabah.

“Blok pembangkang sentiasa mementingkan kepentingan rakyat dan isu PSS ini tidak ketinggalan menjadi keutamaan untuk diperjuangkan oleh blok pembangkang. Kita adalah pembangkang yang berpijak di bumi nyata dan itulah tujuannya menjadi pembangkang yang bijak sebagai semak dan imbang kepada kerajaan.

“Walaupun Warisan dan PH melemparkan pelbagai tuduhan kepada blok pembangkang kerana memainkan isu PSS ini sehingga sanggup mengatakan ia dimulakan oleh BN tetapi ia sedikitpun tidak mematahkan semangat kita bagi memperjelaskan kepada rakyat hakikat sebenar,” ujar beliau menerusi satu kenyataan media.

Tambah Ismail, sebagai ketua pembangkang, saya bersama-sama Ahli Parlimen pembangkang yang lain akan terus pastikan undang-undang yang tidak sepatutnya dan akan menyusah seterusnya menekan rakyat tidak akan dilaksanakan.

“Akhirnya, isyarat dari pengundi Kimanis menyebabkan kerajaan Warisan dan PH membatalkan hasrat mereka untuk memperkenalkan PSS. Tahniah rakyat Sabah khususnya pengundi Kimanis kerana bijak memilih,” ujar beliau.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini mengumumkan keputusan kerajaan negeri untuk membatalkan pelaksanaan PSS.

Shafie berkata keputusan itu dibuat selepas Warisan tewas dalam PRK Kimanis yang memberi isyarat rakyat menolak pelaksanaan pas berkenaan.

“Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini telah memutuskan supaya PSS dibatalkan setelah melihat dan mendengar suara rakyat.

“Kerajaan negeri akan memaklumkan keputusan ini kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya dalam satu sidang media di Kota Kinabalu, hari ini. -UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.