Apa Khabar Menteri Haji? Tanya Dr Asyraf

MINTA izin untuk saya bertanya kepada kekandaku YB Dr Mujahid Yusof Rawa mengenai khabar angin yang bertiup kencang bahawa mulai tahun ini tiada lagi subsidi untuk Jemaah Haji kali pertama yang berjaya dalam rayuan dan mereka kena bayar RM21,200.

Jika benar, saya merayu agar YB ‘Menteri Haji’ (gelaran orang Kimanis) dapat kembali mempertimbangkannya agar amalan TH waktu zaman BN memerintah dapat diteruskan.

Amalan TH waktu zaman BN memerintah dulu yang merayu dan diberi keutamaan dalam rayuan terdiri daripada 2 kategori utama:

1. Suami kali pertama mengerjakan haji merayu untuk menjadi mahram kepada isteri yang berjaya mendapat tawaran haji tahun yang berbeza dengan suami.

2. Anak kali pertama mengerjakan haji merayu untuk menggantikan tempat ayah yang meninggal dunia dan berhajat menemani ibu yang sudah lanjut usia atau uzur namun berjaya mendapat tawaran haji tahun tersebut.

Dalam kebanyakan kes mereka bukanlah daripada kategori golongan berada.

Sebab itulah amalan TH waktu Kerajaan BN sebelum ini, mereka hanya perlu bayar harga subsidi Haji RM9,980.

Mungkin Kekanda YB Mujahid Yusof Rawa akan gunakan alasan ‘istitoah’ atau syarat kemampuan untuk mengerjakan Haji.

Namun, harus diperingatkan bahawa antara matlamat utama penubuhan TH waktu zaman BN dulu adalah untuk mempermudahkan urusan jemaah Haji Malaysia termasuklah dengan cara memberikan subsidi bagi membolehkan keperluan ‘istitoah’ para jemaah dapat dipenuhi.

Sebab itulah TH adalah satu-satunya institusi pengurusan Haji terbaik dunia kerana selain daripada menguruskan jemaah Haji, mereka juga terlibat dalam pelbagai bentuk pelaburan.

Sebahagian daripada keuntungan dikembalikan dalam bentuk HIBAH kepada pendeposit, manakala sebahagian yang lain dimanfaatkan dalam bentuk subsidi bagi mengurangkan beban jemaah sekaligus memenuhi keperluan istitoah mereka.

Mohon penjelasan dan pertimbangan Kekanda Menteri Haji Dr Mujahid Yusof Rawa agar dikekalkan amalan TH memberikan subsidi penuh kepada Jemaah Haji kali pertama yang berjaya dalam rayuan mereka. – UMNO ONLINE

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia