Saya Tidak Bersalah Atas Pertuduhan Itu – Ahmad Maslan

 

KUALA LUMPUR, 21 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan tidak mengaku bersalah ke atas pertuduhan pengubahan wang haram sebanyak RM2 juta yang didakwa diterimanya daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Jelas beliau, terdapat dua kes yang disebut oleh mahkamah di dalam seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA), Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 dan seksyen 38(6) iaitu memberikan kenyataan palsu.

“Saya mengaku tidak bersalah ke atas dua tuduhan pengubahan wang haram dan kenyataan palsu. Saya dituduh menerima RM2 juta dan meminta saya membayar kompaun sebanyak RM5 juta, saya tak terima satu sen pun dan apa sebab saya kena bayar RM5 juta.

“Saya telah buat kenyataan sebelum ini di Dewan Rakyat mengenai cek yang berkaitan dan saya tidak menerima itu dan masih kekal kenyataan-kenyataan itu,” katanya kepada media di lobi mahkamah, hari ini, di sini.

Ahmad juga sempat mencipta sebuah pantun yang dikarangnya sendiri:

Panglima berani pantang kalah,
Badannya sasa kehitaman;
Saya ini tidak bersalah,
Jadi mangsa kezaliman.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang membantu membayarkan wang jaminan sebanyak RM500 ribu ringgit.

“Kalau mereka tidak membantu… saya rasa berada dalam penjara. Saya bersyukur kerana ramai yang membantu dan wang jaminan itu atas nama anak saya,” katanya.

Sementara itu menurut peguam Ahmad, Hamidi Mohd Noh berkata terdapat dua tuduhan ke atas anak guamnya dan beliau tidak mengaku salah.

“Anak guam saya tidak mengaku salah dan ini adalah satu fakta yang sangat penting. Semuanya harus faham mengenai proses mahkamah dan jika anak guam tidak mengaku maka boleh dibicarakan.

“Sesiapapun tidak boleh bagi tahu bahawa orang itu telah melakukan kesalahan. Kita tak tahu lagi tapi dia sudah buat kenyataan walaupun kes ini sedang dibicarakan dan saya minta kerjasama semua pihak untuk tidak boleh memberikan tanggapan negatif,” katanya.

Tambah beliau lagi, penting bagi rakyat memahami bahawa Ahmad tidak bersalah dan bermaksud memang tidak bersalah dan setakat ini belum didapati bersalah.

“Tiada satu perkataan 1MDB di dalam pertuduhan ini. Ini berkenaan tidak membayar cukai pada tahun 2013,” tegasnya.

Berikut ini adalah kenyataan Ahmad menafikan penerimaan wang MDB di Dewan Rakyat sebelum ini.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/10/504561/ahmad-maslan-nafi-terima-wang-1mdb
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2019/10/614971/ahmad-maslan-nafi-terima-wang-1mdb
https://www.sinarharian.com.my/article/50935/BERITA/Nasional/Ahmad-Maslan-tidak-pernah-terima-wang-1MDBUMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.