Isu PATI, PSS: Surat Terbuka Untuk Pemuda UPKO – Pemuda UMNO Sabah

SAYA pernah mengulas secara numerikal berhubung Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Sabah dalam artikel bertarikh 8 Disember 2019.

Sebelum ini, Ian Mahendra, Ketua Wira Warisan Penampang, pernah mengeluarkan hujah yang rapuh berhubung isu PATI di Sabah. Kini, sahabat saya pula Felix Joseph memberikan hujah yang lebih kurang sama. [Rujuk Link]

Untuk makluman saya ulang, ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN), sejumlah 564,087 orang PATI telah di hantar pulang sejak tahun 1990 hingga Januari 2018 iaitu secara purata sejumlah 31,338 orang PATI dihantar pulang setahun.

Pada tahun 2018, di bawah pimpinan Parti Warisan Sabah, Pakatan Harapan (PH) dan UPKO, jumlah PATI yang dihantar pulang hanya berjumlah 4,800 orang sahaja.

Jumlah tersebut jauh berganda lebih kurang daripada jumlah PATI yang dihantar pulang oleh BN.

Persoalannya, siapa yang lebih serius memerangi PATI berdasarkan statistik di atas?

Persoalan kedua Felix Joseph Saang mengatakan bahawa Pas Sementara Sabah (PSS) ini merupakan cadangan daripada kerajaan terdahulu, walhal ianya hanya cadangan yang dibawa oleh badan bukan kerajaan kepada Jawatankuasa RCI dalam mencari solusi yang terbaik bagi menangani isu PATI.

Namun, cadangan tersebut tidak pernah diluluskan dan dilaksanakan sama sekali oleh kerajaan BN! [Rujuk Link]

Felix Joseph Saang perlu berlaku jujur kepada rakyat Sabah khususnya golongan Bumiputra dan Anak Negeri Sabah bahawa UPKO telah bersekongkol dengan Parti Warisan Sabah di dalam melaksanakan PSS.

Bertanggungjawablah, jangan hanya berkawan ketika senang dan lari apabila susah.

Saya yakin, tugasan Felix Joseph Saang untuk membina semula imej dan identiti UPKO merupakan sesuatu yang sukar dan mencabar selagi Madius Tangau masih memimpin UPKO.

Sejak tahun lalu, Madius Tangau berdolak-dalih menyatakan pendiriannya terhadap PSS secara terbuka. [Rujuk Link] [Rujuk Link] [Rujuk Link]

Untuk makluman Felix Joseph Saang, Sabah memiliki keluasan geografi yang sangat luas dan dikelilingi pulau-pulau kecil yang terletak berdekatan dengan Filipina dan Indonesia.

Maka, pencerobohan PATI adalah sangat mudah walaupun pengawasan perairan telah diperketatkan.

Saya menyarankan saudara Felix Joseph Saang merujuk YB Mat Sabu (Mohamad Sabu-Menteri Pertahanan) dan ESSCOM berhubung isu persempadanan, pencerobohan PATI dan sumber tenaga ketenteraan Malaysia.

Oleh itu, saudara Felix Joseph Saang akan memahami permasalahan PATI yang tiada penghujungnya melainkan mengukuhkan pengawasan dan menghantar pulang PATI setiap tahun.

PSS bukanlah penyelesaian tetapi Projek I/C 2.0 yang memperalatkan PERKARA 15(1) dan 15(2) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan permohonan kad pengenalan. [Rujuk Link]

Akhir sekali, saya berpandangan satu-satunya cara untuk UPKO kekal relevan adalah dengan desakan pemuda-pemuda UPKO menyingkirkan Madius Tangau dan menghentikan persetujuan kerjasama antara UPKO dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) dan PH sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Anak muda Sabah membantah PSS dan menolak individu yang menjual Bangsa Sabah!

Mohd Kurniawan Naim Moktar
Ketua Penerangan Pemuda UMNO Sabah
Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.