Jangan Terkeliru Isu Laporan Polis, BN Tak Bantah Sambutan Krismas – Rahman

KIMANIS, 7 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Rahman Dahlan menjelaskan laporan polis berkaitan program sambutan Krismas dengan memberikan hadiah cabutan bertuah sama sekali tidak berkaitan dengan bantahan program tersebut.

Sebaliknya jelas beliau, dalam waktu Pilihan Raya Kecil (PRK) ini peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak membenarkan adanya cabutan bertuah.

“Apabila laporan berkenaan dibuat bukan kerana membantah acara Krismas. Itu bukan soalnya dan kita alu-alukan, tetapi yang kita bantah ialah dalam zaman kita PRK ini peraturan SPR tidak membenarkan ada cabutan bertuah. Tidak boleh makan dan minum secara besar-besaran.

“Kita di sini kadang-kadang haus pun minum air sahaja. Jadi kita buat laporan polis hanya kerana melanggar peraturan SPR. SPR perlu ingat ambil tindakan. Jangan nanti jadi Kimanis satu kali lagi. Nanti macam-macam berlaku,” katanya ketika berceramah di Pusat Daerah Mengundi Bandau, di sini, malam tadi.

Kata beliau lagi ini bukan soal Barisan Nasional (BN) tidak membenarkan program itu berlangsung sepatutnya diteruskan.

“Ketua Menteri datang teruskan tetapi jangan buat perkara-perkara yang boleh melanggar SPR. Penjelasan ini supaya tuan-tuan tahu dan tidak terkeliru kononnya BN membantah satu acara perayaan sambutan Krismas di Membakut baru-baru ini,” ujarnya.

Tegas beliau kemenangan BN pada PRK Parlimen Kimanis sebagai satu peringatan bahawa prestasi parti Warisan sebagai kerajaan selama 19 bulan amat-amat menyedihkan.

“Kalau kita kerajaan kita beritahu kepada rakyat bagaimana mahu membangunkan negeri ini. Bagaimana kita mahu mendapatkan kembali hak kita. Dalam PRU-14 perkara utama yang disebut oleh pemimpin-pemimpin Warisan adalah untuk mengembalikan hak rakyat Sabah dan negeri sabah. Apa sudah jadi dengan 20 peratus yang mereka janjikan. Sepatutnya itu yang menjadi keutamaan,” tambahnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.