Autonomi UMNO Sabah Amat Signifikan, Sesuai Politik Semasa

KIMANIS, 7 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Rahman Dahlan melihat kuasa autonomi yang ada pada UMNO Sabah amat signifikan dengan senario politik di negeri berkenaan.

Menurut beliau sepertimana yang dapat dilihat sebelum ini iaitu ketika pemilihan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, jelas autonomi berkenaan telah berjalan dan ianya satu langkah permulaan yang baik.

“Autonomi ini beri langkah yang cukup besar dan signifikan kepada negeri Sabah kerana orang-orang di Sabah mahukan sebuah parti tempatan tetapi mempunyai hubungan yang rapat dengan nasional. Ini kerana politik Sabah tidak boleh dipisahkan secara keseluruhannya dengan politik nasional.

“UMNO Sabah adalah ‘hybrid’ yang terbaru, bentuk yang terbaru di mana ianyanya adalah parti nasional tetapi mempunyai akar umbi dan dikenali sebagai parti tempatan dan memperjuangkan hak-hak negeri Sabah yang diminta oleh rakyat Sabah,” katanya kepada UMNO-Online.

Kata beliau lagi belum pernah lagi ada satu parti di negara ini seperti UMNO Sabah untuk memberi kelainan kepada rakyat Sabah… mudah-mudahan rakyat negeri ini dapat menghargai perkara berkenaan.

“Kita mempunyai dua kekuatan… hubungan dengan semenanjung tetapi mempunyai status parti tempatan yang mana dapat memperjuangkan hak-hak rakyat negeri Sabah tanpa takut, tanpa gentar, kalau perlu kami ketengahkan berlainan dengan UMNO pusat, itu pun kita boleh buat dalam waktu-waktu tertentu,” ujarnya.

Mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, Abdul Rahman yang juga Ketua UMNO Bahagian Tuaran memberitahu calon yang diketengahkan oleh Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Mohamad Alamin amat tepat sekali.

“Calon BN yang lebih dikenali Datuk Moh anak tempatan dan mempunyai kelulusan yang baik, latar belakang keluarga yang baik malahan beliau seorang anak muda yang boleh bekerja kuat dan akan dapat memberikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat di Kimanis jika diberikan peluang pada 18 Jan nanti.” – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.