Mohamad Alamin Penuhi Kriteria Yang Ditetapkan BN Sabah – Bung Moktar

KIMANIS, 1 Jan – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata pemilihan Ketua UMNO bahagian Kimanis, Datuk Mohamad Alamin sebagai calon BN untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan berkenaan adalah berdasarkan kriteria yang ditetapkan.

Justeru beliau melihat dengan segala kelebihan dan faktor lain yang ada pada Datuk Mohamad Alamin yang sebelum ini pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, ianya bakal memberi kelebihan kepada BN nanti.

“Setelah membuat empat pusingan dan membuat ‘survey’ mencari calon yang sesuai dan boleh menepati kriteria-kriteria yang telah kami tetapkan, Datuk Mohamad Alimin dipilih sebagai calon BN.

“Selaku anak tempatan dan pernah dipilih menjadi wakil rakyat di Dewan Undangan Degeri (DUN) Bongawan pada PRU-13 lalu, beliau bukan asing untuk masyarakat di Kimanis dan kami merasakan faktor itu penting bagi memastikan penerimaan positif pengundi terhadap calon kami di Kimanis.

“Malah kami penuh yakin keupayaan calon untuk berkolaborasi secara aktif dengan semua jentera BN termasuk komponen parti pada PRK ini,” katanya pada sidang media pengumuman calon BN di Bilik Gerakan BN PRK Parlimen Kimanis, di sini, hari ini.

Katanya lagi kemenangan BN dalam PRK ini akan memberikan impak politik yang besar khususnya kepada kebangkitan semula UMNO di Sabah.

“Pengundi di Kimanis perlu menjadikan PRK ini sebagai referendum bagi mengekang kerajaan PH dan Warisan yang telah gagal mentadbir negara dan hanya menumpu perkara remeh berbanding membela untung nasib rakyat.

“Ini masanya untuk kita semua perlu buktikan bahawa mufakat nasional adalah bersifat ‘multi-racial’ dan tidak mengenepikan agama serta kaum lain. Titik permulaan muafakat nasional di sabah akan bermula di parlimen Kimanis,” ujarnya.

Ujar beliau lagi pelbagai strategi yang diatur nanti perlu bijak kerana BN adalah sebuah parti pembangkang jika disbanding dengan jentera PH yang dibantu oleh kerajaan negeri yang besar memandangkan negeri ini dikuasai Parti Warisan yang menyokong PH kerajaan persekutuan

“Saya doakan sambutan tahun 2020 ini bermakna dengan kemenangan BN di Kimanis. Kesinambungan kemenangan di Kimanis merupakan tradisi membela rakyat. Kita bermula di Kimanis untuk menentukan masa depan hala tuju rakyat Sabah,” tambahnya.

Pada masa yang beliau mengucapkan terima kasih atas autonomi yang diberikan oleh pucuk pimpinan yang julung-julung kalinya diberikan kepada UMNO negeri berkenaan.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.