Jangan Politikkan Isu Tanah Cameron Highlands – Noraini

KUALA LUMPUR, 25 Dis – Ketua Wanita UMNO Malaysia Datuk Dr. Noraini Ahmad membidas pihak yang cuba mempolitikkan isu berkaitan tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan ke atas penerokaan secara haram di kawasan tadahan air Kuala Terla berkait Sungai Ichat, Mukim Ulu Telom Daerah Cameron highlands hanya kerana negeri Pahang adalah negeri pembangkang.

Jelas beliau, isu berkaitan alam sekitar dan membabitkan nyawa manusia adalah satu isu serius yang harus ditangani segera dan ia sama sekali tidak ada kena-mengena dengan fahaman politik.

“Wanita UMNO Malaysia berharap agar tiada pihak yang cuba mempolitikkan isu ini.

“Seperti yang telah dijelaskan oleh kerajaan negeri Pahang, tindakan tersebut adalah berlandaskan kepentingan umum bagi memastikan kelestarian alam sekitar dan kepentingan rakyat sentiasa dipelihara. Tanah tersebut telah diceroboh sejak tahun 2009 malah notis mengosongkan juga telah dikeluarkan pada tahun yang sama namun peneroka masih berdegil dan kerajaan negeri pastinya tidak ada pilihan lain memandangkan pencerobohan tersebut telah mengakibatkan pencemaran sungai dan beberapa masalah lain yang memberi impak negatif kepada penduduk di Cameron Highlands.

“Justeru, Wanita UMNO menyokong penuh tindakan yang diambil oleh kerajaan negeri Pahang apatahlagi ia telah mendapat perkenan daripada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong,” ujar beliau menerusi satu kenyataan media.

Tambah Noraini, Wanita UMNO juga membidas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh yang begitu lantang menuduh Kerajaan Negeri Pahang menggunakan keganasan ke atas pekebun sayur Cameron Highlands.

“Fuziah sepatutnya sedar bahawa operasi penguatkuasaan tersebut dilakukan dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan seperti yang telah diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pemulihan Cameron Highlands yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Janganlah cuba untuk merosakkan minda rakyat dengan penipuan kerana rakyat sudah boleh menilai apa itu kebenaran,” tegas beliau. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.