PH Gagal Rangsang Ekonomi, Hancurkan Fundamental Yang BN Bina – Zahid


KUALA LUMPUR, 19 Dis – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membidas kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sehingga kini gagal merangsang ekonomi negara.

Bahkan tempelaknya, PH menghancurkan fundamental yang dibina oleh kerajaan terdahulu Barisan Nasional (BN).

“Ketidakstabilan politik zaman PH terutamanya isu peralihan antara PM (Perdana Menteri) Ke-7 dan PM Ke-8 akibatkan pelabur tidak yakin dengan dasar kerajaan memandangkan model ekonomi berbeza antara PPBM dengan PKR,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Menyentuh mengenai pemberian dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB), Dr Ahmad Zahid mengucapkan terima kasih kepada Permodalan Nasional Berhad (PNB) atas pengumuman dividen 5.50 sen seunit walaupun terendah dalam sejarah.

Untuk rekod, sejak 18 bulan mentadbir, rejim PH gagal mengurus ekonomi negara yang kini semakin merudum hingga menghimpit kehidupan rakyat.

Bukan sahaja nilai Ringgit Malaysia menjunam dengan teruk berbanding Dolar Amerika dan negara serantau, pelaburan asing dan nilai eksport semakin berkurangan bahkan tambah memburukkan keadaan, pelabur asing lari meninggalkan Bursa Saham Malaysia dengan nilai hampir RM300 ratus bilion sebagaimana laporan Suruhanjaya Sekuriti.

Apa yang dibanggakan oleh PH ialah membuatkan hutang negara semakin bertambah dengan Bon Samurai dan Pandanya malahan hingga ke tahap menjual aset-aset negara kepada orang luar walaupun aset tersebut menguntungkan antaranya seperti IHH Healthcare Berhad dan projek DUO Singapura. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.