“Jika Perbelanjaan Sektor Swasta Jadi Sifar, Negatif… Ekonomi Malaysia Akan Krisis” – Najib

KUALA LUMPUR, 19 Dis – “Jika perbelanjaan sektor swasta juga menjadi sifar atau bertukar negatif maka ekonomi Malaysia akan mengalami krisis,” tegas bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Ini kerana katanya ekonomi negara sekarang hanya bergantung kepada perbelanjaan sektor swasta yang mana ia adalah antara satu dari sektor-sektor utama ekonomi.

Dalam masa yang sama ujar Najib dalam satu hantaran di Facebook, lain-lain sektor ekonomi sudah jatuh ke tahap hampir sifar atau bertukar menjadi negatif.

“Pelaburan swasta hampir sifar (0.3% dalam suku ke-3). Perbelanjaan awam hampir sifar (1%).

“Pelaburan awam sudah negatif (-14.1%). Eksport negara negatif (-6.7%, Okt). Import juga negatif (-8.7%, Okt),” tambah bekas Menteri Kewangan itu lagi.

Ulas Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) itu juga, di dalam data Jabatan Perangkaan Malaysia, indeks Perdagangan Borong dan Runcit adalah petunjuk utama untuk perbelanjaan sektor swasta.

“Namun, ‘trend’ penurunan ketara dalam indeks perdagangan domestik jelas kelihatan sejak PRU-14 (Pilihan Raya Umum Ke-14).

“Ramai rakyat Malaysia terutamanya dari golongan pesara bergantung kepada dividen ASB (Amanah Saham Bumiputera) untuk perbelanjaan mereka.

“Sebab itu, dividen ASB yang sekali lagi paling rendah dalam sejarah akan memberi impak besar kepada perdagangan borong dan runcit Malaysia,” katanya.

Maka jelasnya, risiko terhadap ekonomi Malaysia sudah bertambah. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.