Iklan ‘Sugarbook’: PH Tak Peka… DBKL Harus Tegas, Ambil Serius


KUALA LUMPUR, 19 Dis – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Selangor Rizam Ismail mendesak agar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengambil serius dengan memantau setiap permohonan iklan selepas ini supaya tiada kejadian seperti papan tanda pelacuran berulang lagi.

Jelas beliau, ternyata Pakatan Harapan (PH) tidak peka kerana sepatutnya mereka faham bahawa iklan seperti ‘sugarbook’ begitu sensitif dalam norma kehidupan rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa.

“Saya mohon pihak DBKL untuk ambil serius dan memantau setiap permohonan iklan selepas ini supaya tiada lagi kejadian sebegini rupa berlaku.

“Saya lihat kerajaan hari ini tidak memberikan keutamaan kepada perkara yang sensitif dalam kalangan masyarakat malah seperti memberikan hak kesamarataan kepada semua iklan demi mengutamakan keuntungan syarikat.

“Jesteru itu, saya mohon supaya pihak DBKL mengambil langkah tegas dan tidak akan sesekali iklan yang berunsurkan promosi tawaran ‘sugar daddy’ kepada wanita muda dan cantik ini berlaku kembali.

“Ini bukan isu remeh kerana impak daripada kesilapan sebegini amat buruk sekali. Bayangkan anak muda yang telah melayari aplikasi ini… pasti mereka merasakan ini adalah jalan mudah untuk mereka meraih wang, maka rosaklah anak bangsa bakal pemimpin negara,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Rizam yang juga ketua pembangkang Selangor, sekarang bukan masa untuk menuding jari tetapi kerajaan harus mengambil tindakan tegas dan jangan berkompromi dengan perkara yang boleh merosakkan negara.

Beberapa hari lepas, tular iklan yang memaparkan satu aplikasi yang berunsur lucah di sekitar Bangsar dan Bukit Kiara. Ekoran daripada itu, rata-rata netizen mengkritik iklan tersebut. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.