Dividen ASB, LTAT, Tabung Haji…2020 Bakal Jadi Mimpi Ngeri Untuk Rakyat – Ismail Sabri


KUALA LUMPUR, 19 Dis – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tahun 2020 yang diharapkan rakyat menjadi sinar untuk sebuah negara maju yang mampu menjana pendapatan mereka, rupanya bakal menjadi mimpi ngeri.

Malah katanya, perubahan positif yang rakyat harapkan daripada kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) nampaknya terus malap dan hanya menjadi mimpi indah yang tak mungkin jadi kenyataan.

“Lebih teruk lagi apabila semua perkara yang membabitkan Melayu Bumiputera terus merudum. Jika kita lihat, bukan sahaja dividen Tabung Haji mencatat sejarah paling rendah iaitu 1.25 peratus, dividen Tabung Angkatan Tentera (LTAT) juga mencatat sejarah yang sama… di anggap paling rendah sejak tahun 1973 iaitu cuma 2.0 peratus. Kini dividen ASB 2019 pula menerima nasib yang sama apabila diumumkan hanya 5.5 peratus.

“Pengumuman tersebut ternyata mengecewakan pencarum khususnya mereka yang membuat pinjaman untuk mencarum. Kerana apa… kerana mereka terpaksa membayar ‘interest’ yang jauh lebih tinggi daripada dividen yang diperolehi,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO seterusnya memberikan contoh pengiraan bagaimana pencarum yang tidak akan dapat merasai hasil caruman, sebaliknya terbeban pula untuk membayar kerugian daripada pinjaman yang dibuat.

“Sekiranya pinjaman yang dibuat berjumlah RM100 ribu (pinjaman 20 tahun), pencarum terpaksa membayar anggaran bulanan sebanyak RM660. 12 bulan ia akan menjadi RM7,920 tetapi dividen yang diperolehi bagi tahun ini hanyalah sebanyak RM5,500.

“Bukan sahaja pencarum tidak dapat merasai hasil caruman mereka, mereka dibebankan pula untuk membayar kerugian daripada pinjaman yang dibuat,” terangnya.

Ujarnya lagi yang juga Ahli Parlimen Bera, dalam keadaan ekonomi yang semakin buruk dan ada juga yang telah hilang punca pencarian kerana dibuang kerja seperti pekerja di kumpulan Media Prima yang melibatkan agensi NST, Berita Harian, Metro dan TV3, maka sudah pasti dividen ini diharapkan untuk meringankan beban mereka dalam membuat persediaan persekolahan.

Namun sayangnya tambah beliau, satu-satunya harapan mereka ini turut berkecai dan dividen terburuk dalam sejarah ini sekaligus membuktikan bahawa kedudukan ekonomi negara di bawah pentadbiran PH semakin kritikal.

“Sudahlah kos sara hidup semakin menghimpit, cukai pula semakin menaik dan lebih membebankan apabila tahun 2020 bakal menyaksikan semakin banyak cukai bakal diperkenalkan,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.