SD Azilah Hadri: Rakyat Bijak Menilai, Sedar Permainan Politik Persepsi PH – Zahid


KUALA LUMPUR, 18 Dis – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin rakyat sedar tuduhan terbaharu yang dilemparkan kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak adalah permainan politik persepsi terbaharu yang cuba dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Tegasnya dalam satu hantaran di Facebook, ia juga adalah usaha PH untuk mengalihkan fokus kemarahan rakyat terhadap mereka dan sudah semestinya rakyat bijak menilai.

“Yakin DS (Datuk Seri) Najib Razak cukup arif isu Altantuya yang diketengahkan semula oleh PH ini.

“Beliau berkali-kali nyatakan bahawa beliau tidak terlibat sehingga ke peringkat beliau sedia bersumpah atas nama Allah SWT,” katanya.

Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional mendoakan agar Najib tabah menghadapinya.

Kelmarin, sebagaimana dilaporkan sebuah portal, bekas anggota polis Azilah Hadri, yang kini sedang menunggu hukuman mati atas kesalahan membunuh wanita warganegara Mongolia Altantuya Shaariibuu membuat tuduhan terbaharu melalui Akuan Bersumpah (SD) kononnya membunuh wanita tersebut atas arahan Najib (sewaktu Najib menjadi Timbalan Perdana Menteri) dan Abdul Razak Baginda.

Najib sebentar tadi di dalam Facebooknya, demi menegakkan kebenaran, akan melakukan sumpah laknat menafikan dakwaan yang terkandung dalam SD yang dikeluarkan Azilah itu.

“Sumpah laknat ini akan saya buat di Masjid Jamek Kampung Baru di ibu negara sejurus selepas Solat Jumaat minggu ini,” katanya.

Sementera itu, Ketua Penerangan UMNO Malaysia Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata keputusan Najib yang mahu membuat sumpah merupakan satu pendirian dan tindakan paling berani.

“Berani kerana kebenaran. Mari kita doakan agar Allah melindungi DS Najib Razak.

“Kita mesti menolak politik fitnah dan kotor.

“Saya yakin. Allah akan menunjukkan kebenaran,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.