Polisi Ekonomi PH ‘U-Turn’, Bercelaru Penyebab Pulangan ASB Terendah Sejak 1990 – Dr Asyraf


KUALA LUMPUR, 18 Dis – Kerajaan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) seharusnya mengakui bahawa dasar dan polisi ekonomi mereka yang ‘u-turn’ dan bercelaru sebenarnya banyak mempengaruhi prestasi Bursa Saham Malaysia di mana Permodalan Nasional Berhad (PNB) banyak melabur di dalam syarikat-syarikat yang disenaraikan di situ, bidas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Dr Asyraf berkata demikian mengulas mengenai alasan pihak pengurusan PNB yang menyalahkan ketidaktentuan ekonomi global termasuklah harga minyak, harga komoditi dan perang perdagangan Amerika Syarikat-China telah menyebabkan kedudukan ekonomi negara banyak terjejas dan banyak mempengaruhi kadar agihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Jelasnya dalam satu kenyataan hari ini, pengumuman kadar agihan pendapatan ASB sebanyak 5.0% dan bonus 0.5% oleh Pengerusi PNB, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz adalah yang terendah pernah diumumkan sejak tahun 1990.

“Rata-rata rakyat yang mengambil pembiayaan bank bagi membeli unit ASB hanya bakal menerima keuntungan yang sedikit dari kadar agihan pendapatan ASB berjumlah 5.5% iaitu hanya 0.65% – 0.25% kerana kadar pembiayaan yang ditawarkan boleh bank-bank adalah dari 4.85% hingga 5.25%.

“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia ingin mengingatkan kerajaan bahawa ASB adalah antara instrumen pelaburan yang selamat dan menguntungkan kepada rakyat khususnya Bumiputera.

“Tidak mustahil ada di kalangan rakyat yang memiliki unit ASB bakal menjual unit-unit mereka untuk beralih ke unit amanah lain yang menawarkan agihan pendapatan yang lebih tinggi kelak. Apakah yang akan terjadi pada ASB dan PNB kelak?” soalnya lagi.

Begitu juga tambahnya rakyat Malaysia, khususnya para pekerja juga kini bakal menantikan pengumuman kadar dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 yang bakal diumumkan awal tahun hadapan.

“Sekiranya kadar dividen KWSP juga bakal menerima nasib yang sama, sudah pasti kehidupan rakyat juga bakal terjejas,” tegasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.