Papan Tanda Promosi Pelacuran Bukti Pentadbiran PH Caca Marba


KUALA LUMPUR, 18 Dis – Wanita UMNO Malaysia melahirkan rasa kesal dengan kegagalan terbaru kerajaan di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang ‘terlepas pandang’ sehingga tersiarnya iklan gergasi mempromosikan pelacuran.

Ketuanya Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, ini jelas menunjukkan betapa caca marbanya pentadbiran PH sehinggakan perkara sebegini boleh terlepas pandang.

“Walaupun iklan tersebut telah ditarik balik tetapi ia secara total membuktikan kegagalan PH dalam mentadbir negara ini dengan baik.

“Apa yang dipertikaikan adalah, sekiranya benar ia tidak mendapat kelulusan mengapa dua hari iklan tersebut disiarkan? Hanya selepas tular baru tindakan menarik balik iklan tersebut dilakukan. Adakah jika ia tidak ditegur, maka iklan tersebut akan terus dimainkan?

“Pelik sungguh Malaysia Baru yang cuba dibawa oleh PH ini. Ia bukan untuk menjadikan negara ini lebih baik tetapi ia bakal merosakkan anak bangsa pemimpin masa hadapan. Kami Wanita UMNO benar-benar kecewa dengan kealpaan PH ini,” ujar beliau menerusi satu kenyataan media.

Tambah Noraini, jika inilah gambaran yang hendak dibawa oleh PH menjelang 2020, maka sewajarnya mereka ditolak oleh rakyat.

“Justeru, Wanita UMNO Malaysia mendesak perkara ini disiasat secara tuntas dan ambil tindakan segera kepada mereka yang bertanggungjawab. Perlu diingat, Malaysia adalah sebuah negara yang berpaksikan agama Islam,” tegas beliau. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.