Johor Banjir, MB Ke Mesir… Tak Tahu Mana Prioriti Bagi Rakyat, Bidas Khaled


KUALA LUMPUR, 18 Dis – Adalah malang ketika keadaan di Johor belum reda dan pulih sepenuhnya akibat dilanda banjir, Menteri Besar Johor Dr. Sahruddin Jamal memilih untuk mengadakan lawatan ke luar negara di Mesir, kesal Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Katanya, barangkali alasan yang akan digunakan adalah kerana lawatan tersebut sudah lama di rancang tetapi alasan sebegini tidak boleh diterima.

“Pertama, sebarang lawatan ke luar negara boleh dijadualkan semula sekiranya wujud keperluan yang lebih mendesak di peringkat tempatan.

“Kedua, lawatan tersebut adalah bertujuan untuk bertemu para pelajar kita di Mesir. Bukankah selepas bencana banjir ini selesai, mereka akan masih berada di sana dan boleh dilawati? Sedangkan mangsa-mangsa banjir masih bertarung dengan ketidaktentuan dan pelbagai musibah.

“Ketiga, saya yakin pihak penganjur atau pelajar kita di sana mempunyai kematangan yang tinggi untuk memahami dan menerima pembatalan lawatan tersebut kerana bencana banjir yang sedang berlaku di Johor,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Begitu juga tambah bekas Menteri Besar Johor itu, inilah masanya untuk Dr Sahruddin mempamerkan keupayaan meletakkan prioriti atau keutamaan dalam sesuatu isu.

Khaled berkata demikian merujuk kepada situasi yang dihadapi oleh Johor kini, antara beberapa negeri yang sedang teruk dilanda banjir di mana ramai keluarga dan mangsa sedang diberikan bantuan oleh pelbagai pihak dan sukarelawan yang bertungkus lumus memastikan mereka selamat.

“Dalam keadaan sebegini, pihak kerajaan negeri dan pemimpin tempatan sangat diperlukan untuk turun padang dan membantu sedaya yang mungkin.

“Mereka mesti terus memantau dan memastikan yang segala aspek keselamatan dan misi bantuan berjalan lancar.

“Bukan sekadar melepas tangan kepada kakitangan kerajaan negeri atau para sukarelawan. Atau sekadar mengadakan satu lawatan ke pusat pemindahan,” tegasnya lagi.

Justeru Khaled berharap Menteri Besar Johor Pakatan Harapan itu dan barisan pentadbirannya yang lain akan dapat memberikan perhatian serius kepada isu yang lebih penting sekarang.

“Marilah kita semua mendoakan keselamatan keluarga dan mangsa yang terjejas agar berada dalam keadaan selamat.

“Marilah kita semua bersama-sama menghulurkan bantuan serta sumbangan seberapa yang boleh dalam kapasiti masing-masing.

“Semoga keadaan akan pulih segera,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.