Teruskan Usaha Bina Imej UMNO, Jangan Tunggu Kelemahan PH – Dr Shamsul Anuar


KUALA LUMPUR, 17 Dis – UMNO mesti bina kekuatan sendiri dan bukan menunggu serta bergantung kepada kelemahan Pakatan Harapan (PH) untuk menjadi kuat, tegas Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata demikian sebagai pesanan kepada semua Ketua Penerangan UMNO Bahagian seluruh negara khususnya dalam pelbagai isu yang menyelubungi pimpinan dan kerajaan PH.

“Ketika ini kebanyakan parti PH menghadapi masalah. Banyak isu sedang menyelubungi pimpinan dan Kerajaan PH dan memberi kesan pada rakyat. Hanya Dap yang kekal stabil dan kerana itu, diwaktu parti lain dalam Kerajaan PH sibuk menyelesaikan masalah Dap terus menjayakan agendanya tapi Dap mesti ditentang. Mereka berkuasa dalam Kerajaan PH ketika ini,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebooknya.

Ujarnya, beliau yakin bahawa UMNO dalam keadaan baik ketika ini mesti terus bina kekuatan dan imej baik di mata rakyat.

“Walaupun kita menang besar di Parlimen Tanjung Piai, dan menang di tiga PRK sebelum itu, ia bukan bermakna kita boleh berasa selesa.

“Saya mohon agar setiap Ketua Penerangan UMNO sama ada negeri atau bahagian mesti memainkan peranan mengikut amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kita.

“Berikan maklumat serta penjelasan isu penting secara berterusan kepada rakyat di kawasan masing masing dengan pendekatan yang bersesuaian.”

Katanya, UMNO baru saja selesai PAU 2019 dan pelbagai perubahan telah UMNO lakukan antarànya melalui pindaan Perlembagaan parti.

“Ini adalah perubahan bagi menghadapi situasi politik yang sudah berubah, maka penting untuk kita terus tonjolkan kebaikan dan kehebatan UMNO kepada rakyat.

“Paling penting, kita mesti juga terus dedahkan apa saja kelemahan PH kepada rakyat. Apatah lagi PH memang punyai banyak kelemahan.”

“Justeru kepada jentera Penerangan UMNO disemua peringkat, marilah kita terus bekerja menentang musuh kita iaitu PH. UMNO mesti kembali berkuasa,” tegas beliau lagi yang juga Ahli Parlimen Lenggong. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.