Siapakah VVIP Yang Berjumpa Dengan Azilah? – TS Shafee


PUTRAJAYA, 17 Dis – Peguambela Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Tan Muhammad Shafee Abdullah mendedahkan anggota polis, Azilah Hadri yang kini sedang menunggu hukuman gantung sampai mati kerana membunuh wanita warga Mongolia Altantuya Shaariibuu pada tahun 2006 lalu dibawa keluar dari Penjara Kajang pada Februari tahun ini untuk berjumpa beberapa individu termasuk VVIP.

Berkata kepada media ketika ditemui di Istana Kehakiman di sini, Shafee berkata ia berdasarkan maklumat yang sangat boleh dipercayai.

“Saya sedar sejak Februari, Azilah telah dikunjungi dan terdapat maklumat yang sangat dipercayai, yang saya tidak boleh sahkan bahawa Azilah berjumpa dengan seorang VVIP di luar penjara pada Februari.

“Saya juga tidak akan mengatakan siapa individu itu atau sama ada orang itu ahli politik,” katanya.

Ulasnya juga, pertemuan tersebut yang berlaku di luar penjara merupakan satu pelanggaran protokol dan peraturan penjara.

Shafee turut mendakwa terdapat beberapa individu termasuk yang dipanggilnya sebagai ejen kerajaan Malaysia ke Australia untuk berjumpa dengan bekas anggota polis dalam kes yang sama, Sirul Azhar Umar, yang kini berada di bawah tahanan imigresen negara berkenaan untuk memujuknya supaya tampil membuat kenyataan menentang Najib.

Semalam, Azilah yang kini berada di Penjara Kajang membuat dakwaan mengejutkan melalui pengakuan bersumpah (SD) mendakwa menerima arahan daripada Najib semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri untuk membunuh Altantuya.

Dalam pengakuan itu, Azilah mendakwa dia bersama Sirul hanya mengikuti arahan ‘shoot to kill’ sebagai anggota pasukan Unit Tindakan Khas.

Azilah juga mendakwa terdapat keterangan tidak dikemukakan ketika prosiding di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum ini.

Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menetapkan 20 April depan untuk mendengar permohonan Azilah bagi menyemak semula keputusan yang mensabitkannya atas kesalahan membunuh Altantuya.

Dalam satu hantaran di Facebook, Shafee turut membidas tindakan tersebut adalah tindakan terdesak Azilah di saat akhir ketika hukuman gantung ke atasnya akan dijalankan yang bermotifkan mahu memenjarakan anak guamnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.