Politik Jijik Dan Melampau, Permainan Sangat Kotor


KUALA LUMPUR, 17 Dis – Serangan tanpa henti ke atas Datuk Seri Najib Razak, mantan Perdana Menteri adalah bukti, ada pihak terus rasa terancam dengan pengaruh yang dimilikinya, kata Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Katanya, maknanya selagi Najib Razak ada beliau akan terus menjadi masalah pada mereka.

“Tindakan begini paling jijik serta melampau. Ini mainan politik yang sangat kotor. Justeru politik fitnah seumpama ini perlu dihindari dan tidak sesuai di negara ini. Kita kena amalkanlah politik bermaruah dan matang,” katanya menerusi kenyataan terbaru dalam laman Facebooknya, hari ini.

Tegas beliau, rakyat majoritinya menyampah dengan politik begini dan kita mesti menolaknya.

“Dan percayalah rakyat Malaysia majoritinya sangat bijak. Mereka mampu berfikir dengan matang.

“Malah saya yakin Datuk Seri Najib Razak dipihak yang benar. Namun kita harap beliau terus sabar, berani dan menghadapi situasi ini.

“Kita harap pihak yang melakukannya akan menerima balasan juga akhirnya. Mereka akan hancur dengan fitnah yang dilakukannya,” katanya yang juga Ahli Parlimen Lenggong.

Semalam dilaporkan sebuah portal memaparkan bahawa bekas polis Azilah Hadri, yang disabitkan bersalah membunuh wanita warganegara Mongolia Altantuya Shaariibuu, membuat tuduhan terbaharu kononnya berbuat demikian disebabkan atas arahan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak (sewaktu kejadian Najib adalah Timbalan Perdana Menteri) dan Abdul Razak Baginda.

Perincian itu dimasukkan dalam permohonan yang difailkan oleh banduan yang sedang menunggu hukuman gantung itu kepada Mahkamah Persekutuan bagi menyemak semula keputusan bersalah dan hukuman mati terhadapnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.