Huru-Hara PH Peluang Terbaik UMNO Atur Strategi Demi Menang PRU-15


DAMANSARA, 17 Dis – Naib Pemuda UMNO Selangor, Amin Mohd Shukor berkata, huru-hara dalam kepimpinan Pakatan harapan (PH) sekarang ini seharusnya dijadikan peluang paling baik kepada UMNO Selangor mengatur gerak tindak yang lebih tersusun, berhemah dan efektif terhadap pengundi dan rakyat demi kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Justeru jelas beliau, ahli UMNO di semua peringkat baik yang berjawatan ataupun tidak ‘wajib’ untuk menjaga kerukunan serta reputasi nama baik UMNO Selangor.

“Kepimpinan kita harus tetap melalui tauladan dan UMNO Selangor seharusnya ke arah membina dan memperkaya masa depan generasi. Sebab itulah saya amat berharap agar segala permasalahan yang ada dalam UMNO Selangor diselesaikan secara kaedah ‘keharmonian berkeluarga’ supaya tidak merugikan masa depan UMNO Selangor itu sendiri.

“Janganlah kita menggunapakai ‘media umum’ sebagai medan terbuka perbalahan kerana apa sahaja urus tadbir dan hasil persetujuan mesyuarat mestilah dikawal selia agar menjadi contoh kepada akar umbi,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Amin yang juga Ketua Pemuda UMNO bahagian Damansara, UMNO adalah sebuah parti yang penuh dengan ketelusan dan boleh menerima pandangan serta mendengar suara akar umbi, maka sudah pasti akar umbi mahu melihat kepimpinan parti dapat memberi contoh terbaik demi masa hadapan.

“Kita bukan seperti parti lain yang menyelesaikan masalah dengan cara kasar dan bergaduh. Sebab itu setiap keputusan dan persetujuan sebaiknya secara ‘kolektif’ dan penuh budi bicara. Jika tidak, cerminan persepsi negatif untuk kesan jangka panjang reputasi UMNO Selangor akan berlaku dan jelas akan merugikan parti umumnya.

“…kerana apa yang penting sekarang ini adalah fokus kita kepada susun atur PRU-15 sama ada mendekati rakyat dan persediaan khusus bagi siap siaga ke arah menjadi ‘bakal kerajaan’ yang seharusnya dilihat meyakinkan.

“Kita juga harus perhalusi setiap segmen pengundi, merangka gerak tindak dan pelan dasar pemangkin ekonomi rakyat dan negeri, dasar keharmonian dan perpaduan negeri… ini semua penting diberi tumpuan,” ujar beliau lagi.

Selain itu ujar Amin, ‘silap tadbir’ dasar dan polisi kerajaan dan kerajaan negeri sedia ada juga perlu diperhalusi agar UMNO Selangor dapat menyediakan pelan tindakan ke arah perancangan efektif yang memberi impak ‘nilai tambah’ untuk rakyat dan pengundi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.