Genap Setahun, Sampai Bila Perlu Tunggu Keadilan Untuk Arwah Adib? Soal Zahid


KUALA LUMPUR, 17 Dis – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi percaya majoriti rakyat turut bersamanya mempersoalkan pihak yang berkuasa di negara ini yang sehingga kini masih belum membela kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

“Hari ni genap setahun Adib meninggalkan kita.

“Sampai bila kita perlu tunggu keadilan untuk arwah? Soalnya dalam satu hantaran di Facebook miliknya.

Untuk rekod, dalam kejadian awal pagi 27 November 2018, negara digemparkan dengan satu catatan sejarah hitam apabila Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dipercayai dipukul sekumpulan perusuh di hadapan kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Beliau dimasukkan ke unit jagaan rapi di Pusat Perubatan Ramsay Sime Darby, Subang Jaya awal pagi sebelum dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur keesokan malamnya dan menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira pukul 9.41 malam pada 17 Disember tahun yang sama.

Pada 27 September lalu, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Allahyarham Adib itu adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.

Justeru, Dr Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk memberi jaminan keadilan untuk Allahyarham Adib pasti akan dapat ditegakkan sekiranya parti kembali menjadi kerajaan.

“Insya-Allah apabila kami jadi kerajaan baharu, keadilan buat keluarga arwah akan diperjuangkan. Amin,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.