PRK Kimanis: 18 Jan 2020 Hari Mengundi, Penamaan Calon 4 Jan – SPR

PUTRAJAYA, 16 Dis – Hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen P.176 Kimanis ditetapkan pada 18 Jan 2020, Sabtu manakala penamaan calon pada 4 Jan (Sabtu), kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun.

Bercakap di sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas berhubung pengurusan PRK tersebut, Azizan berkata pusat penamaan calon dan penjumlahan undi akan diadakan di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir, Beaufort di mana Pegawai Pengurus Pilihan Raya adalah Jupari @ Jupry Etok, yang juga merupakan Pegawai Daerah Beaufort.

SPR juga memaklumkan hari pengundian awal diadakan pada 14 Jan, Selasa.

Jumlah pemilih adalah seramai 29,664 orang pengundi, mengikut Suku Tahun Ketiga 2019, dikemaskini sehingga 9 Dis 2019 dengan anggaran 70 peratus keluar mengundi.

SPR turut memaklumkan PRK Kimanis dijangka menelan belanja sebanyak RM3.6 juta.

Untuk rekod, Mahkamah Persekutuan sebelum ini menolak rayuan Datuk Seri Anifah Aman untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 16 Ogos lepas bahawa kemenangannya di Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tidak sah dan terbatal selepas mendapati wujud kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Pada PRU-14, Anifah yang merupakan bekas Menteri Luar memenangi kerusi Parlimen Kimanis atas tiket Barisan Nasional (BN) dengan majoriti tipis 156 undi.

Beliau memperoleh 11,942 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang Datuk Karim Bujang dari Warisan yang mendapat 11,786 undi manakala calon Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail yang menerima 1,300 undi.

Pada September tahun lalu, Anifah mengumumkan keluar UMNO dan mengisytiharkan dirinya bebas.

PRK Parlimen Kimanis adalah PRK kesepuluh diadakan selepas PRU-14 dengan yang pertama diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada 4 Ogos 2018; DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 September 2018); Parlimen Port Dickson (13 Oktober 2018); Parlimen Cameron Highlands (26 Januari 2019); DUN Semenyih (2 Mac 2019); DUN Rantau (14 April 2019); Parlimen Sandakan (11 Mei 2019) dan Parlimen Tanjung Piai (16 Nov 2019). – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.