Muncul PRK… Muncullah Kebetulan-kebetulan, Fitnah Dan Propaganda – Zahida


KUALA LUMPUR, 16 Dis – Seolah sudah menjadi ‘trend’ sekarang apabila tiba sahaja musim pilihan raya kecil (PRK), dengan tiba-tiba sahaja keluar pelbagai dakwaan, penipuan dan fitnah terbaharu, bidas Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia Datuk Zahida Zarik Khan dalam satu hantaran di Facebook.

Tempelaknya, dengan secara tiba-tiba juga muncul kebetulan demi kebetulan yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“PH boleh cipta 1,001 fitnah dan propaganda.

“Penipuan demi penipuan.

“Tapi rakyat tidaklah bodoh dan pasti akan hukum kalian nanti,” tegasnya.

Rekod sebelum ini jelas apabila tiba sahaja musim PRK, pelbagai dakwaan dan tuduhan yang dilemparkan oleh kerajaan PH kepada parti dan pemimpin pembangkang antaranya seperti isu rasuah RM90 juta kononnya PAS terima daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan UMNO ketika PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, di PRK DUN Rantau timbul isu kononnya terdapat salahlaku pemindahan dana RM10 juta yang dilakukan oleh Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan sepuluh tahun lalu dan pelbagai lagi.

Begitu juga dengan kebetulan demi kebetulan pelbagai peruntukan bajet dan projek pembangunan tiba-tiba disalurkan ke kawasan terbabit.

Hari ini pula, sebagaimana yang dilaporkan sebuah portal memaparkan laporan bahawa bekas polis Azilah Hadri, yang disabitkan bersalah membunuh wanita warganegara Mongolia Altantuya Shaariibuu, membuat tuduhan terbaharu kononnya berbuat demikian disebabkan atas arahan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak (sewaktu kejadian Najib adalah Timbalan Perdana Menteri) dan Abdul Razak Baginda.

Perincian itu dimasukkan dalam permohonan yang difailkan oleh banduan yang sedang menunggu hukuman gantung itu kepada Mahkamah Persekutuan bagi menyemak semula keputusan bersalah dan hukuman mati terhadapnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.