Lim Guan Eng Semakin Hari Semakin Rasis, Cauvinis, Bidas Dr Asyraf


KUALA LUMPUR, 16 Dis – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki membidas Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang semakin hari semakin terserlah sikap rasis dan cauvinis.

Dr Asyraf berkata demikian merujuk kepada tindakan Setiausaha Agung Dap itu yang membantah pihak berkuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat kes menyanyikan lagu Negaraku dalam bahasa Mandarin.

“Kenapa perlu bantah pihak PDRM menyiasat? Soal bersalah atau tidak, biarlah serahkan kepada pihak berwajib untuk menentukannya.

“Yang pasti menyanyikan lagu Negaraku dalam apa juga bahasa selain Bahasa Kebangsaan adalah merupakan satu bentuk penghinaaan kepada simbol kedaulatan negara dan bukannya isu perkauman,” tegasnya dalam satu lontaran di Facebook.

Sebelum ini, Guan Eng kerap mengeluarkan kenyataan yang berbaur perkauman antaranya seperti kerjasama antara UMNO dan PAS merupakan satu pengisytiharan perang kepada bukan Melayu-Islam.

Ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai bulan lalu, sebagaimana yang didedahkan oleh Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat Datuk Dr Puad Zarkashi dalam media sosialnya, Guan Eng dalam ceramahnya dengan menggunakan bahasa Mandarin turut menghentam penjawat awam, yang majoritinya berbangsa Melayu semata-mata bagi mendapatkan sokongan masyarakat Cina.

Begitu juga dengan Pengerusi Dap Perak Nga Kor Ming yang meniupkan api kebencian serta menakutkan masyarakat bukan Islam dengan menggambarkan kerjasama UMNO dan PAS akan menjadikan Malaysia seperti Afghanistan yang diperintah Taliban sekiranya kedua-dua parti itu membentuk kerajaan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.