Agensi Martabatkan Bahasa Kebangsaan Jadi Mangsa Kerajaan PH, Beribu Hilang Pekerjaan

KUALA LUMPUR, 16 Dis – Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan membidas kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sering mudah ‘menjual mimpi’ dan apabila mahu melaksanakannya nampak seperti ‘bertelur sebiji riuh sekampung’ sahaja.

Hakikatnya ujar beliau, keadaan ekonomi sekarang sudah tidak semakmur sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) hingga menyebabkan ramai rakyat kehilangan pekerjaan.

“Apa yang lebih menyedih dan membimbangkan, terdapat kecenderungan kehilangan kerja ini membabitkan kepentingan bahasa kebangsaan. Pada Oktober lalu Utusan Melayu (M) Berhad terpaksa ditutup dan mengakibatkan hampir 1,000 orang hilang pekerjaan.

“Bulan lalu juga Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) mengumumkan beratus orang pekerjanya akan ditamatkan perkhidmatan dalam masa sebulan dua ini. Seminggu ini terdapat ura-ura bahawa beribu pekerja Media Prima di TV3, NTV7, 8TV, TV9, New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro bakal diberhentikan.

“Saya khuatir, tidak lama lagi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga akan berhadapan dengan tindakan rasionalisasi sumber, yang hampir sama,” kesalnya dalam satu kenyataan.

Ulasnya, PH sebelum ini menjanjikan sejuta pekerjaan baharu namun apa yang berlaku sejak setahun ini semakin ramai yang hilang pekerjaan di mana tahun ini sahaja berpuluh ribu orang telah hilang pekerjaan.

“Apa sebenarnya yang berlaku kepada negara kita ini?

“Adakah semua pemberhentian membabitkan industri yang mengembang dan menyuburkan bahasa kebangsaan ini, kerana faktor ekonomi semata-mata atau juga kerana sikap tidak peduli kerajaan?

“Kepada yang berhadapan musibah kehilangan kerja ini, bertabahlah. Insya-Allah ada rezeki di jalan lain,” katanya.

Justeru itu kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu lagi, rakyat terutama orang Melayu boleh menilai sendiri sikap dan tindak-tanduk parti pemerintah hari ini.

“Dulu mereka punya seribu jawapan membela nasib pekerja, hari ini mereka buat-buat tidak nampak ‘gajah di depan mata’.

“Kerajaan punya banyak kuasa dan pengaruh, mengurangkan beban rakyat termasuk membantu industri berkaitan ilmu dan bahasa kebangsaan.

“Namun kuasa sentiasa menguji dan mengalpakan manusia,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.