UMNO Dan PAS Selangor Sokong Titah DYMM Tuanku Sultan Selangor

KUALA LUMPUR, 13 Dis – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan menyokong titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah kelmarin bahawa rakyat Selangor jangan terkeliru dengan fakta sejarah.

Katanya, Parti Komunis Malaya (PKM) dikatakan menentang penjajah namun mereka bukannya berlandaskan konsep pembentukan negara Malaysia Merdeka yang berteraskan ‘Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan’.

“UMNO dan PAS Negeri Selangor merafak sembah dan menjunjung kasih serta taat setia atas kebijaksanaan titah Tuanku Sultan Selangor dan menyeru penyokong serta ahli kedua-dua parti khususnya di Negeri Selangor agar mengambil iktibar dan mengutuk sebarang usaha mengelirukan fakta sejarah apatah lagi mengagung-agungkan pimpinan dan perjuangan PKM yang merupakan musuh negara,” katanya dalam kenyataan bersama UMNO dan PAS Negeri Selangor.

Kedua-dua parti turut menegur dan mengingatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu Tian Khiew agar menarik balik kenyataannya sebelum ini mengagung-agungkan perjuangan PKM.

Mat Nadzari yang juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Selangor menjelaskan bahawa Ronnie Liu pernah hadir sebagai tetamu dalam satu majlis memperingati ulang tahun 30 Perjanjian Damai Hadyai.

“Seramai lebih 300 veteran dan bekas pejuang PKM telah hadir dalam majlis berkenaan dan Ronnie telah menyatakan simpatinya pada perjuangan PKM serta berbangga bahawa datuk dan abang beliau pernah berjuang bersama PKM.

“UMNO dan PAS Selangor turut menuntut agar semangat titah Tuanku Sultan Selangor jangan lagi ada mana-mana pihak yang mengambil kesempatan dalam menganjurkan apa-apa majlis atau keramaian bagi memperingati pengganas PKM di Selangor,” tegasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.