Berjuanglah Dalam Satu Barisan, Kita Lawan PH Habis-habisan – Zahida

KUALA LUMPUR, 13 Dis – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia Datuk Zahida Zarik Khan menyeru semua pendukung parti agar berjuang dalam satu barisan melawan kerajaan Pakatan Harapan (PH) habis-habisan.

Katanya, semua pihak perlu bergerak seiring, senada dan seia sekata agar ianya menjadi satu kekuatan kepada parti.

“UMNO sedang melalui saat sukar ketika menjadi pembangkang.

“Hanya yang kental jiwa dan kuat roh perjuangan kekal bersetia.

“Itulah Politik Ketahanan seperti yang disebut oleh Presiden UMNO DS (Datuk Seri) Dr Ahmad Zahid Hamidi,” ujarnya dalam status di Facebook.

Justeru itu katanya, teruskanlah rapatkan saf, jangan berpaling tadah serta jangan beralih arah.

Dalam Perhimpunan Agung UMNO minggu lepas ketika menyampaikan ucapan dasar presiden, Dr Ahmad Zahid ada menyentuh mengenai transformasi politik UMNO yang perlu seiring dengan kehendak politik abad ke-21 di mana modenisasi politik UMNO bukan lagi pilihan tetapi satu kemestian.

Jelas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, dua budaya baharu politik modenisasi abad ke-21 perlu diterapkan dan disemai dalam UMNO, iaitu Politik Ketahanan memperkuatkan daya tahan dan daya juang, agar tidak mudah diurai oleh cabaran keduniaan atau sogokan dan Politik Berimbang; bagi menghadapi politik huyung-hayang dan politik songsang. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.