Video Semburit: PDRM Dan Anwar Perlu Bersuara Terhadap Dakwaan Zuraida


KUALA LUMPUR, 12 Dis – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu memberi penjelasan terhadap dakwaan Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin kononnya PDRM telah memberi pengesahan kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa video semburit yang didakwa melibatkan Timbalan Presidennya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali adalah benar.

Jelas beliau, sekiranya tidak ada sebarang kenyataan daripada PDRM, ini secara tidak langsung memberi pandangan negatif kepada pasukan keselamatan negara.

“Dalam video Zuraida yang tular itu, secara jelas dia mengatakan Anwar telah memberitahu kepadanya bahawa pihak polis dan SB (Cawangan Khas) telah mengesahkan pelaku dalam video itu adalah Azmin.

“Tapi sehingga kini PDRM tidak mengeluarkan sebarang kenyataan. Ini bukan sebarang tuduhan, ini melibatkan maruah pihak berkuasa.

“Jadi, PDRM perlu memberi kenyataan secara jelas adakah benar PDRM telah memberi pengesahan kepada Anwar bahawa pelaku dalam video tersebut adalah Azmin,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Selain itu tambah Razlan, Anwar juga perlu menjelaskan adakah benar apa yang diperkatakan oeh Zuraida itu kerana sekiranya benar, ini secara tidak langsung membuktikan dakwaan Azmin bahawa Anwar adalah individu yang dikatakan ‘orang dalam’ yang terbabit dalam penyebaran video tersebut.

“Anwar juga perlu memberi penjelasan kerana jika tidak, rakyat akan beranggapan Anwar adalah invidu yang dimaksudkan oleh Azmin sebagai orang dalam… yang merakam dan menyebarkan video itu.

“Maka, PDRM dan Anwar perlu membuat kenyataan dan selepas itu PKR juga perlu mengambil tindakan tegas sekiranya benar Azmin adalah pelaku dalam video semburit itu,” ujar beliau lagi.

Ucapan Zuraida di Hotel Renaissance baru-baru ini telah mengundang pelbagai persoalan di hati rakyat.

Untuk rekod, selepas tersebarnya video semburit yang dikatakan melibatkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu, pasangannya iaitu Haziq Abdullah Abdul Aziz telahpun mengakui bahawa dirinya adalah individu dalam video tersebut.

Azmin pula menafikan dirinya terlibat dan beliau yakin ada konspirasi ‘orang dalam’ yang cuba menjatuhkan dirinya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.