Tiada Peruntukan Undang-Undang Arah Ahli Parlimen Isytihar Harta, Termasuk Akta SPRM

KUALA LUMPUR, 12 Dis – Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekali lagi dengan tegas berkata ahli parlimen pembangkang tidak akan isytihar harta atas alasan-alasan kukuh.

Kata Naib Presiden UMNO itu, antaranya adalah seperti ketiadaan undang-undang bertulis termasuk Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mewajibkan semua ahli parlimen berbuat demikian.

Berikut merupakan kenyataan penuh Ismail, yang juga Ahli Parlimen Bera.

Ahli parlimen pembangkang tidak akan isytihar harta atas alasan-alasan kukuh iaitu:

i) Tidak ada undang-undang bertulis termasuk Akta SPRM yang mewajibkan ahli parlimen ishtihar harta. Kita setuju isytihar harta kepada SPRM jika ada undang-undang bertulis mengenainya.

ii) Usul parlimen untuk isytihar harta melangkau kuasa parlimen kerana parlimen tiada kuasa untuk mengenakan arahan kepada ahli parlimen perkara yang di luar ruang lingkup perjalanan mesyuarat parlimen lebih-lebih lagi melibatkan isteri dan anak.

Peraturan parlimen hanya terhadap perjalanan dan perkara-perkara yang berlaku dalam parlimen sahaja.

iii) Tindakan ini juga dianggap sebagai campur tangan eksekutif terhadap kebebasan parlimen apabila menteri membawa usul yang bertujuan memenuhi agenda pihak eksekutif.

Ini bertentangan dengan doktrin pengasingan kuasa.

iv) Pengisytiharan harta adalah untuk menyekat salah guna kuasa. Ini tiada kena mengena dengan pembangkang yang tidak mempunyai kuasa kelulusan utk sebarang kontrak dan projek.

Kita menyokong jika menteri dan timbalan menteri mengisytiharkan harta mereka kerana merekalah yang mempunyai kuasa dan boleh menyalahgunakan kuasa.

Sewaktu BN memerintah semua menteri dan timbalan menteri diwajibkan mengisytiharkan harta mereka. Namun tidak untuk ahli parlimen termasuk MP pembangkang.

v) Kenyataan menteri untuk menghukum ahli parlimen yg ingkar dengan usul tersebut adalah melangkaui bidang kuasa menteri serta menghina parlimen kerana setiap kesalahan ahli parlimen hanya boleh dihukum oleh parlimen melalui Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Jadi ahli parlimen perlu terlebih dulu di rujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.
vi) Pengisytiharan harta boleh mendedahkan kepada keselamatan diri sendiri dan keluarga jika maklumat pengisytiharan tersebut terdedah kepada pengetahuan umum.

Sebagai contoh, seorang ahli parlimen kerajaan terpaksa pindahkan seluruh keluarga ke Australia kerana ancaman keselamatan.

vii) Ahli parlimen juga mengisytiharkan pendapatan dan harta mereka kepada bahagian cukai pendapatan setiap tahun. Maka pihak kerajaan boleh mendapatkan maklumat tentang pendapatan dan aset ahli parlimen dari Jabatan Cukai Pendapatan.

Malah jika ada kesalahan-kesalahan yang mencurigakan membabitkan kes rasuah dan pecah amanah, SPRM mempunyai kuasa untuk menyiasat, menahan sesiapa sahaja yang didapati berkaitan pecah amanah dan rasuah.

Pembangkang mendokong penuh amalan Bebas Rasuah dan menolak sebarang penyalahgunaan kuasa samada di pihak kerajaan mahupun pembangkang sekalipun. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.