Hak Milik Tanah 999 Tahun: UMNO Perak Cabar Dap Minta Kerajaan PH Pinda Perlembagaan


IPOH, 12 Dis – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak Datuk Saarani Mohamad mencabar Naib Pengerusi Dap Perak Aziz Bari supaya meminta Kerajaan Persekutuan meminda perlembagaan atau mencabar keputusan Majlis Tanah Negara (MTN) sebelum membolehkan pemberian hak milik 999 tahun kepada kampung-kampung baru.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak itu juga berkata, sebarang forum tidak akan menyelesaikan isu berkenaan kerana ia berkait dengan Perlembagaan Persekutuan.

“MTN ditubuhkan mengikut Perkara 91 Perlembagaan Persekutuan, apa-apa keputusan yang dibuat adalah berdasarkan perlembagaan dan tidak boleh dipinda.

“Jika ianya mahu diubah, Aziz perlulah mencabar di mahkamah ataupun membawa isu ini ke Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, mengulas kenyataan Aziz yang juga exco Kerajaan Negeri Perak dan ADUN Tebing Tinggi itu.

Saarani juga menyebut Perkara 91 Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada Kerajaan Persekutuan untuk menubuhkan MTN untuk menguruskan hal ehwal tanah.

“Manakala perkara 91(5) Perlembagaan yang sama jelas menyatakan Kerajaan Persekutuan dan Negeri hendaklah mengikut dasar yang dibentuk oleh majlis itu,” katanya lagi.

ADUN Kota Tampan itu juga mengingatkan Aziz tentang Pekelililing Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Bilangan 1/2018.

“Di bawah perkara 3 pekeliling berkenaan, Majlis Tanah Negara yang ke-42 dan ke-53 telah memutuskan supaya tempoh pajakan bagi kampung-kampung baru dinaikkan daripada 30 tahun kepada 60 tahun; dan tempoh pajakan tidak melebihi 90 tahun.

“Aziz juga mesti melihat sejarah, dan memahami isu pemberian hak milik 999 tahun pada tahun 2008,” katanya merujuk kepada peristiwa Kerajaan 11 bulan Pakatan Rakyat. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.