“Apalah Nak Jadi Dengan Malaysia Baru Ni… Dah Jadi Malaysia Haru-biru” – Tok Mat


KUALA LUMPUR, 12 Dis – Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan kesal melihat sikap kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang seperti tiada kesudahan sibuk merebut jawatan perdana menteri.

Bidasnya, pertelingkahan tersebut pastinya menambahkan syak wasangka rakyat bahawa Malaysia kini berada di dalam tangan yang salah mengemudinya.

“Adalah menyedihkan melihat perselisihan mereka bukan kerana mahu mencari jalan mengatasi kejatuhan nilai ringgit dan pasaran saham, atau mencari sebab mengapa hutang negara terus meningkat tanpa hala tuju jelas.

“Persengketaan mereka bukan soal bagaimana nak bantu kehidupan orang kampung, petani, nelayan, peneroka Felda dan pekebun kecil yang semakin menderita dan tidak mendapat bantuan mencukupi untuk menampung kos sara hidup yang semakin melambung.

“Atau bagaimana mahu membantu peniaga kecil yang kian tersepit dalam keadaan ekonomi tidak menentu ini,” ujarnya dalam catatan di Facebooknya.

Ulasnya, PH lebih fokus bergaduh mengenai milik siapa jawatan perdana menteri dan serang-menyerang antara sesama.

“Pergaduhan mereka ialah mengenai siapa lebih layak menjadi perdana menteri dan siapa punya skandal lebih buruk dan hangat sensasi.

“Yang amat membimbangkan kita ialah pergaduhan ini sudah mula membabitkan menteri-menteri dari PKR yang sepatutnya menumpukan sepenuh perhatian untuk membangunkan negara.

“Apalah nak jadi dengan Malaysia baru ni. Dah jadi Malaysia haru-biru,” tempelaknya lagi.

Tambah Mohamad yang juga dikenali sebagai Tok Mat, ketika Perhimpunan Agung UMNO 2019 berjalan dengan baik, boleh dilihat parti lawan PKR berantakan sehingga ada yang berbalut kepala.

“Perpecahan sudah luar biasa dari atas hingga ke bawah. Jika dilihat perbalahan yang diwarnai dengan skandal dan ‘power play’ yang berkisar kepada perebutan kuasa dalam kerajaan.

“Apa akibatnya kepada rakyat dan negara? Soalnya lagi.

Jelasnya lagi, sejak perubahan pentadbiran negara, berbilon ringgit pelaburan asing meninggalkan Bursa Malaysia.

“Prestasi Bursa Malaysia antara terburuk di dunia sepanjang setahun ini.

“Menurut laporan FMT, minggu lepas sahaja sejumlah RM700.2 juta dana asing meninggalkan Bursa Malaysia.

“Sehingga minggu lalu jumlah dana asing yang keluar dari Malaysia bagi tahun 2019 sudah melebihi RM10 bilion,” kesalnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.