Sukan SEA 2019: Gagal Capai Sasaran, Syed Saddiq Mesti Bertanggungjawab – Dr Shamsul

KUALA LUMPUR, 11 Dis – Kegagalan Malaysia mencapai sasaran pingat emas di Sukan SEA Ke-30 memperlihatkan kegagalan Menteri Belia Dan Sukan Malaysia Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Justeru kata Ketua Penerangan UMNO Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, Ahli Parlimen Muar itu yang menerajui Kementerian Belia Dan Sukan mesti bertanggungjawab.

Berdasarkan kedudukan pungutan pingat, menyaksikan Malaysia hanya memungut 55 emas, 58 perak dan 71 gangsa.

“Melihat kepada kedudukan ini, maka sasaran 70 emas nyata gagal dicapai oleh Malaysia. Situasi ini menyaksikan Sukan SEA kali ini telah menjadi temasya keempat terburuk dalam sejarah 20 tahun terakhir penyertaan Malaysia dalam Sukan SEA.

“Malaysia membawa kontinjen yang besar bertanding di Filipina dengan penyertaan 773 atlet membabitkan 54 daripada 56 acara dipertandingkan. Namun, amat mengecewakan rakyat Malaysia,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Dr Shamsul yang juga Ahli Parlimen Lenggong turut mengucapkan tahniah kepada atlet Malaysia yang berjaya mendapat pingat di Sukan SEA 2019 kali ini di Filipina, yang secara rasmi berlangsung pada 30 Nov lalu hingga ke hari ini.

Dalam edisi ke-29 pada tahun 2017, Malaysia mengungguli temasya sukan dwitahunan itu dengan memperolehi sebanyak 145 pingat emas. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.