PRK Kimanis: UMNO Sabah Akan Memperhalusinya – Annuar


KUALA LUMPUR, 11 Dis – Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata Barisan Nasional (BN) akan mengkaji pelbagai opsyen yang ada bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Dalam ciapannya di Twitter, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata Parti Warisan Sabah (Warisan) yang mewakili kerajaan mempunyai kelebihan kecuali jika berlaku pertembungan satu lawan satu.

“(PRK Kimanis) senario yang amat berbeza di Sabah berbanding dengan Semenanjung (Malaysia).

“Biar UMNO Sabah memperhalusinya,” ujarnya.

Mahkamah Persekutuan pada minggu lepas menolak rayuan Datuk Seri Anifah Aman untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 16 Ogos lepas bahawa kemenangannya di Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tidak sah dan terbatal selepas mendapati wujud kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Pada PRU-14, Anifah yang merupakan bekas Menteri Luar memenangi kerusi Parlimen Kimanis atas tiket BN dengan majoriti tipis 156 undi.

Beliau memperoleh 11,942 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang Datuk Karim Bujang dari Warisan yang mendapat 11,786 undi manakala calon Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail yang menerima 1,300 undi.

Pada September tahun lalu, Anifah mengumumkan keluar UMNO dan mengisytiharkan dirinya bebas. – UMNO ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.