Bara Perkauman Di Kampus… Mahasiswa Keadilan Patut Nasihatkan Kerajaan PH


KUALA LUMPUR, 11 Dis – Mahasiswa UMNO, Yusof Tashfin menasihati Mahasiswa Keadilan, yang berada di pihak kerajaan Pakatan Harapan (PH) agar lebih menumpukan kepada isu yang melibatkan kepentingan pelajar-pelajar di institut pengajian tinggi.

Katanya dalam satu hantaran di Facebook, isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Kad Siswa, kenaikan yuran pengajian dan pelbagai lagi lebih penting yang perlu mahasiswa perjuangkan.

“Kami di Siswa UMNO akan sentiasa mendesak kerajaan supaya terus menjaga kebajikan mahasiswa.

“Kerana jelas pada hari ini, kerajaan semakin mengabaikan mahasiswa yang selama ini mereka canang sebagai ejen utama perubahan kerajaan pada hari ini,” ujarnya.

Yusof berkata demikian mengulas kenyataan yang telah dibuat oleh wakil Mahasiswa Keadilan Mohamad Shahrul Nizam Mohd Sofian sewaktu membahaskan ucapan dasar Presiden dalam Kongres Nasional Keadilan di MITC, Ayeh Keroh, Melaka yang telah mengingatkan Mahasiswa UMNO agar jangan cuba mencetuskan bara perkauman di kampus-kampus di universiti.

Bidas pelajar Sains Politik dari Universiti Sains Malaysia itu, lebih baik Mahasiswa Keadilan mengalihkan pesanan mereka itu kepada kerajaan PH.

“Kerana kegagalan kerajaan sekarang mengawal bara perkauman yang dicetuskan oleh mereka sendiri pada hari ini, akan mengganggu keharmonian di seluruh negara.

“Saya sebenarnya berasa agak geli hati apabila membaca kenyataan wakil tersebut. Bukan apa, kerana isu-isu perkauman yang berlaku sejak kebelakangan ini dicetuskan oleh pihak sana, ketika kami di pihak pembangkang sedang sibuk memperbaiki parti sendiri.

“Bukan sedikit isu-isu yang melibatkan perkauman berlaku sejak akhir-akhir ini. isu tulisan jawi, isu penggunaan bahasa lain dalam urusan rasmi dan banyak lagi isu yang terjadi sejak kebelakangan ini berlaku disebabkan oleh kerajaan hari ini. semua orang pun tahu Mahasiswa Keadilan mewakili kerajaan hari ini, bukannya UMNO,” tegasnya lagi.

Manakala seorang lagi Mahasiswa UMNO Nor Najihah Abdul Razak berpandangan sudah banyak naratif provokasi yang sengaja dihidupkan oleh pemimpin PH mutakhir ini.

“Ucapan Lim Guan Eng tanpa berselindung membuat ucapan perkauman di Kongres Tahunan Dap Johor, kemudian dimarakkan lagi api perkauman dengan isu berkaitan tulisan Jawi dan masih belum berhenti jolokan perkauman dengan timbulnya isu bendera dan baru-baru ini dihidangkan pula dengan isu rumah ibadat di Bukit Mertajam.

“Yang tidak masuk akalnya, mereka ini sendiri yang menciptakan provokasi lalu segala yang buruk itu kemudiannya dikatakan datangnya dari UMNO sehinggalah wakil di sebelah sana mengeluarkan kenyataan seperti itu,” bidas siswi dari Universiti Kebangsaan Malaysia itu dalam satu kenyataan di Facebooknya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.