Walaupun ‘Tempang’, Semangat Kelab UMNO Luar Negara Terus Membara – Hafizuddin

KUALA LUMPUR, 8 Dis – Perwakilan Kelab UMNO Luar Negara (KULN), Mohamad Hafizuddin Mohamad Zaidi berkata di saat KULN mengalami pengecilan yang diibaratkan ‘tempang’ ekoran beberapa buah kelab beralih haluan, semangat mereka dalam perjuangan parti tetap membara.

Katanya, kini hanya berbaki dua puluh buah berbanding sebelumnya, 80 buah KULN kerana banyak yang beralih ke kelab ‘bunga raya’ tetapi KULN terus mengukuh berdiri walaupun dalam serba kekurangan.

“Lumrah manusia… bila ada wang ringgit semua datang, namun bila tiada kuasa, satu persatu pergi meninggalkan kita.

“Walaupun ‘tempang’ tidak berkaki… semangat kami masih membara demi ibu pertiwi. Betapa ramai kawan-kawan kami meninggalkan kelab menyertai gagasan kelab yang baru, mengecilkan kewibawaaan KULN dan diri kami, tetapi kami kekal di dalam landasan ini,” katanya yang mendapat tepukan gemuruh dari perwakilan.

Hafizuddin berkata demikian ketika membahaskan Usul Ucapan Dasar Presiden di Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.

Hafizuddin dari Kelab UMNO Edinburgh, United Kingdom menjelaskan bahawa KULN tidak meminta apa-apa tetapi cukuplah memberikan perhatian dan sokongan kepada mereka yang menjadi pelajar di luar negara.

Ini kerana katanya, dengan menyedari kesusahan yang dialami mampu memberikan seribu satu hikmah yang tersembunyi untuk dipelajari dan seterusnya dapat memperbaiki diri dan juga parti.

“Imej di mana UMNO sudah berubah dan dilihat sudah diperbaharui budaya politiknya selain lebih inklusif. Tiada lagi politik wang, tiada lagi budaya ‘warlords’, tiada lagi politik perpecahan,” katanya.

Jelasnya lagi, UMNO perlu berada di barisan hadapan dalam membariskan kepimpinan yang berasaskan tauladan serta barisan kepimpinan yang segar, integriti, berprisip dan menjadi contoh ikutan dan idola anak muda.

“Pemimpin UMNO harus dilihat selari dengan mentaliti orang muda, di mana setiap idea harus diraikan dan dihormati.

“Kita harus memberikan sistem hierarki parti keramat ini satu nafas yang baharu di mana perbezaan umur dan generasi antara kita tidak dijadikan sebagai satu bentuk supremasi, tetapi sebagai satu kepelbagaian yang akan saling lengkap melengkapi antara satu sama lain,” tegasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.