Tirai PAU 2019 Ditutup Penuh Harmoni… Berbeza Parti Lain Yang Penuh Keganasan

KUALA LUMPUR, 7 Dis – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Samsudin berkata tirai Perhimpunan Agung UMNO 2019 berlabuh semalam dalam suasana penuh aman dan harmoni menunjukkan mantapnya organisasi dan ikatan silaturrahim dalam parti ini.

Jelas beliau, ia jauh berbeza dengan perhimpunan parti lain yang penuh dengan keganasan.

“Sepanjang empat hari kita bersidang, tidak ada satu pun pergaduhan, kita raikan perbezaan pandangan malah para pembahas diberi kebebasan untuk menyampaikan pandangan mereka tanpa sebarang sekatan malah disiarkan secara langsung.

“Walaupun kita bergelar pembangkang namun kita lebih berdisiplin dan bermaruah. Kita mampu mengawal ahli kita dengan baik. Ini jelas membuktikan UMNO bukan parti picisan dan UMNO bukan parti yang lahir di tepi jalan.

“Perjuangan kita adalah perjuangan yang benar sebab itulah kita sering difitnah kerana tidak ada satu parti pun yang mampu meniru kesatuan dan rasa besar hati kita,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Sharkar, justeru semua ahli parti harus menyahut seruan Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi agar tidak mudah terpengaruh dengan segala cerita yang bermain di media sosial serta cerita-cerita daripada ‘batu api’ di luar yang cuba merosakkan keharmonian parti keramat ini.

“Seperti yang Datuk Seri Presiden katakan, kita mahu perpaduan bukan sahaja di kalangan ahli-ahli kita tetapi juga di kalangan ahli-ahli parlimen kita. Janganlah dengar cerita-cerita di dalam media sosial, janganlah dengar cerita-cerita daripada batu-batu api terhadap rakan-rakan yang menjadi ahli parlimen yang dikatakan cuba melakukan ‘negotiation’ atau pun berunding dengan seseorang daripada pintu belakang.

“Ini semua adalah politik persepsi yang dimainkan dalam usaha memastikan kekuatan yang dibina oleh UMNO hancur.

“Mereka telah berjaya menjatuhkan kita dalam PRU-14, mereka juga berjaya mencuri pemimpin kita tetapi mereka tidak berjaya mengambil roh dan perjuangan kita. Inilah pendinding yang membuatkan UMNO terus utuh dan kukuh sehingga kini.

“Maka mari kita terus bersatu-padu dalam dalam mencapai kemenangan pada PRU-15 nanti,” ujar beliau. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.