UMNO Tolak Sebarang Rundingan Pintu Belakang, Setiap Tindakan Ikut Saluran Parti – Presiden UMNO

KUALA LUMPUR, 7 Dis – Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO menolak sebarang usaha mana-mana pihak dari luar mahupun dalam untuk adakan rundingan pintu belakang.

Justeru jelas beliau, segala analisis dan percanggahan pendapat harus dinoktahkan bermula hari ini.

“Sebagaimana saya nyatakan, biarpun di luar sana terlalu banyak analisis terhadap Ahli Parlimen UMNO dan BN tapi apa saya nyatakan tadi adalah satu keputusan muktamad oleh 35 orang ahli Parlimen UMNO dan tiga lagi daripada BN di mana kita telah santuni permasalahan sebelum ini dan kita pastikan semua tindakan kita lakukan secara bersama.

“Kita menolak sebarang usaha mana-mana pihak dalam dan luar parti untuk adakan rundingan pintu belakang,” ujar beliau dalam satu sidang media selepas ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2019.

Tambah Zahid, segala tindakan selepas ini mestilah melalui saluran parti.

Bercakap berkaitan perhimpunan ini pula Zahid berkata, beliau telah meneliti segala usul dan beberapa isu yang dibawa oleh jurucakap termasuklah lontaran pandangan daripada Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Malaysia.

“Apa yang dapat kita rumuskan dalam perhimpunan ini sebelum dan sepanjang berlangsungnya persidangan sayap-sayap, ia telah memberikan keberhasilan dari rasa kesatuan hati dikalangan pemimpin bukan sahaja di peringkat sayap tetapi semua peringkat,” jelas beliau.

Ketika ditanya berkaitan Muafakat Nasional yang banyak disebut oleh pembahas jelas Zahid, satu sekretariat tetap akan dibuat di mana Setiausaha Agung UMNO dan PAS akan menjadi sekretariat bersama.

“Manakala Timbalan Presiden akan menjadi Pengerusi Penyelaras dan Naib Presiden UMNO menjadi jawatankuasa teknikal.

“Melalui sekretariat tetap ini kita akan laksanakan congress Muafakat Nasional peringkat kebangsaan di mana tarikhnya akan ditetapkan nanti,” ujar beliau lagi. – UMNO ONLINE