UMNO Perlu Rangka ‘Ikatan’ Kepada ADUN Mahu Pun Ahli Parlimen – Wakil Melaka

KUALA LUMPUR, 7 Dis – UMNO Melaka hari ini mahu parti merangka satu bentuk ikatan kepada Ahli Parlimen mahu pun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) supaya apa yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu tidak terus berlaku.

Pembahasnya YB Zaidi Atan ketika membahaskan usul ucapan dasar presiden berkata akar umbi masih tetap setia namun apa yang berlaku amat mengecewakan kerana mereka yang diberi kepercayaan oleh parti lari meninggalkan perjuangan.

“Pertamanya kita kena lihat berlaku krisis keyakinan penggerak utama parti yang mana mereka yang mendapat manfaat secara langsung dari kita di akar umbi lari terlebih dahulu. Kita di akar umbi tetap teguh bersama parti, tetapi bukan yang di atas ini… yang dahulu….

“Mesti mengubah rupa bentuk itu supaya kalau mereka ditawarkan untuk menjadi ADUN atau Ahli Parlimen mestilah ada sesuatu ikatan yang memungkinkan untuk mereka tidak lari sewaktu mereka diberi amanah,” katanya di Dewan Merdeka di sini, hari ini

Hari ini merupakan hari kedua perbahasan yang membahaskan usul ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Keduanya tambah Zaidi yang juga Naib Ketua UMNO Jasin, proses pentarbiyahan juga perlu dilakukan agar semua pihak wala’ kepada parti dan juga kepda pemimpin.

“Proses pentarbiyahan juga perlu kita lakukan. Bukan kita tarbiyahkan yang di atas tetapi kita juga perlu tarbiyahkan yang dibawah ini kerana jika tidak ada yang dibawah ianya tidak akan naik ke atas nanti. Mesti ada perubahan struktur yang meyakinkan untuk kita kekal wala’ kepada parti dan juga pemimpin,” ujarnya.

Ujarnya lagi apabila bercakap tentang politik berimbang inilah masanya untuk parti mengambil kira yang mana ketika UMNO tidak berada di puncak kuasa untuk sama-sama dijadikan iktibar, pedoman kepada warisan pemimpin akan datang.

“Ini kerana sebelum ini kita tidak pernah kalah dalam mana-mana waktu PRU sehinggalah PRU yang lalu,” tegasnya.

Tegasnya lagi UMNO sedang melaksanakan transformasi dengan mengadakan beberapa perubuhan kepada pucuk pimpinan parti dan Insya Allah dengan adanya perubahan kepada perlembagaan parti, terutama apabila ditingkatkan kedudukan Ketua Wanita UMNO sama tarafnya  dengan Timbalan Presiden, ini merupakan tawaran baru kepada ahli UMNO dan juga kepada rakyat Malaysia.

“Kalau ikut sejarah lalu Tan Sri Aishah Ghani membawa perubahan struktur wanita untuk membawa sokongan semula kepada UMNO dan BN. Hari ini kita mengharapkan wanita memainkan peranan yang sama di semua peringkat dan semua kedudukan,” tambahnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.