Mahasiswa Harus Berani Jadi Juara Jurubicara Orang Muda – Dr Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 7 Dis – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar berkata sesuai dengan perubahan landskap politik negara, Mahasiswa UMNO harus menjadi juara dan jurubicara orang muda.

Jelas beliau, Mahasiswa UMNO juga mesti menjadi orang penting sebagai pejuang kepada kepentingan golongan pelajar.

“Sebagai Ketua Penerangan UMNO, saya ingin nyatakan bahawa peranan dan sumbangan Mahasiswa UMNO sangat penting kepada parti UMNO. Mereka menjadi penghubung antara parti UMNO dan mahasiswa. Kerana itu Kelab Mahasiswa UMNO yang diwujudkan oleh UMNO melalui Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia adalah platform terbaik yang boleh menjadi penghubung antara UMNO dan mahasiswa.

“Kerana itu pendekatan mahasiswa kepada anak muda harus diubah. Jika pempimpin UMNO menjadi jurubicara rakyat maka Mahasiswa UMNO harus menjadi jurubicara mahasiswa dan orang muda. Kebetulan UMNO juga sedang merangka dan menyediakan ‘tawaran baru’ kepada rakyat maka ada baiknya Mahasiswa UMNO memainkan peranan mendengar kehendak serta mendapatkan pandangan mahasiswa.

“Dengan ini sudah tentu Mahasiswa UMNO boleh mengumpul cadangan serta pandangan yang dikemukakan bagi diteliti oleh pimpinan parti. Saya percaya, jika cadangan yang dilontarkan baik dan ada keupayaan untuk UMNO BN lakukan, pasti ianya akan diberikan keutamaan,” ujar beliau selepas program ramah mesra bersama mahasiswa dalam dan luar negara sempena Perhimpunan Agung UMNO 2019.

Tambah Dr Shamsul Anuar, walaupun UMNO bukan lagi kerajaan tetapi ini tidak bermakna perjuangan Mahasiswa UMNO terhenti.

“Ya… keadaan sudah berbeza. Ketika ini UMNO bukan lagi kerajaan sebagaimana dulu namun begitu, ia bukan bermakna perjuangan Mahasiswa UMNO terhenti kerana kita bukan lagi kerajaan.

“Maka dengan situasi yang tidak sama ini pendekatan serta cara kita mesti berlainan. Kepada pimpinan Mahasiswa UMNO, saya berikan keyakinan bahawa pimpinan UMNO menyedari isyarat yang rakyat berikan waktu PRU-14 lalu dan ketika ini.

“Oleh itu, pimpinan parti telah, sedang dan akan terus melakukan pelbagai perubahan bagi membolehkan UMNO terus menjadi parti yang hebat, diterima oleh rakyat dan kembali berkuasa di negara ini. Antara langkah perubahan yang dibuat ialah meminda beberapa perkara penting dalam Perlembagaan UMNO, umpamanya membuka keahlian kepada anak muda berusia 16 tahun agar UMNO diremajakan,” ujar beliau lagi.

Shamsul menegaskan bahawa UMNO mahu lebih terbuka apabila mewujudkan Ahli Bersekutu di mana sebuah pertubuhan bukan kerajaan ( NGO ) ataupun individu boleh menjadi ahli secara langsung.

“Ini suatu perubahan penting yang UMNO lakukan,” ujarnya . – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.