“Kita Bawa Bahtera UMNO Dalam Satu Haluan, Belayar Gagah Tempuh Badai Politik” – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 7 Dis – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bertekad serta berjanji untuk mengumpulkan segala kudrat kekuatan dan pemikiran bersama-sama dengan seluruh kepimpinan tertinggi dan ahli parti dalam usaha memacu UMNO terus ke depan.

Pada masa yang sama beliau turut melahirkan iltizam untuk terus memastikan bahtera UMNO dapat belayar ke destinasi kejayaan dengan satu hala dan penuh kesatuan serta muafakat.

“Saya akan memastikan bahawa bahtera UMNO yang diamanahkan kepada kita semua ini dan saya sebagai nakhoda serta bersama-sama dengan juragan-juragan dan kelasi mengharapkan serta beriltizam untuk belayar gagah menempuh badai politik dalam apa keadaan sekali pun.

“Saya sama sekali tidak akan membiarkan bahtera ini tersasar dari haluannya, sama sekali tidak akan membenarkan ditebuk dari dalam, sama sekali kita tidak akan bertelagah antara nakhoda, juragan dan kelasi-kelasinya.

“Kita akan belayar dalam satu bahtera, satu nakhoda, satu cita-cita, satu hala sehingga UMNO kembali berkuasa. Semangat ini Insya-Allah ada pada kita semua,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2019 yang berakhir petang tadi.

Ahmad Zahid seterusnya menambah UMNO perlu terus diperkuatkan supaya Muafakat Nasional terus berkembang dan dapat dijayakan dengan sebaiknya sekaligus dapat mewujudkan keselesaan kepada rakan muafakat di luar sana.

“Kita kuatkan diri kita dahulu. Kita wujudkan permuafakatan di kalangan kita dahulu. Benar kita ada Muafakat Nasional di luar sana. Rakan kita juga mahu melihat kekuatan di kalangan kita. Jika kita kuat mereka merasa selesa untuk menterjemahkan aktiviti  dalam Muafakat Nasional.

“Oleh yang demikian apa yang telah kita rancangkan melalui Muafakat Nasional dan apa yang diharapkan dari kewujudan Muafakat Nasional ini bukan sekadar aktiviti ceramah perdana di peringkat bahagian atau kawasan diperingkat negeri, peringkat nasional tidak semudah itu. Pasti ada cabaran daripada luar untuk memecahkan kita. Pecah dan perintah,” ujarnya.

Beliau turut berpuas hati dengan program ceramah Muafakat Nasional yang hari ini telah pun berjalan di bahagian masing-masing.

“Manakala konvensyen Muafakat Nasional telah mula berjalan di peringkat negeri. Insya-Allah sebelum bulan Mei tahun depan, konvensyen Muafakat Nasional di peringkat kebangsaan akan dijalankan di mana ketika itu secara rasminya Muafakat Nasional dan ‘diformalizekan’ pelaksanaannya,” tambahnya – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.