Jangan Sambil Lewa… Pastikan UMNO Kuat, Susun Strategi Menang PRU-15 – Tok Mat

KUALA LUMPUR, 7 Dis – Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan yang lebih sinonim dengan panggilan Tok Mat menekankan walaupun kini ada Muafakat Nasional namun pemerkasaan parti dan penyusunan strategi untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tetap diperlukan.

Katanya, UMNO tidak boleh bergantung hanya semata-mata kekuatan yang datang dari luar kerana apa yang utama adalah kekuatan mestilah datang dari dalam parti itu sendiri.

“Dua hala tuju perkasa parti dan susun strategi untuk menang pilihan raya. Dalam apa jua parti mesti diperbetulkan dan diperkasakan walaupun kita ada Muafakat Nasional dan apa-apa gabungan yang lain.

“Jangan kita berharap sangat dengan bantuan dari luar. Kalau kita kuat, akan pasti dapat menubuhkan kerajaan yang baik, bila kuat orang akan datang kepada kita.

“Janganlah kita bersikap sambil lewa dan terlampau berharap kepada orang kerana beberapa ketika kebelakangan ini saya lihat penyatuan ummah dan Muafakat Nasional telahpun beri satu petanda kepada kita dah rileks sangat, dah tak perlu nak buat apa-apa dah, macam dah ada satu jaminan bahawa kita akan tetap menang pilihan raya tambahan pula dah menang di (Pilihan Raya Kecil-PRK) Cameron Highlands, Semenyih, Rantau dan menang besar di Tanjung Piai. Jangan,” tegasnya ketika berucap di sesi penggulungan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2019 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur di sini hari ini.

Jelasnya, PRK adalah medan pertempuran kecil bagi memastikan strategi yang digarap berkesan atau tidak dan untuk memperbetulkan kaedah-kaedah bagi menghadapi PRU.

Tambahnya juga, kemenangan di PRK bukan satu jaminan parti akan menang di dalam PRU kerana kedua-duanya wujud situasi yang berbeza.

“Ini bukan satu jaminan kerana PRK dan PRU dua perkara yang amat berbeza. Strategi berbeza isu pun berbeza. Jadi untuk kita menang PRU mesti susun strategi baik-baik, perbetulkan parti kita.

“Banyak sebab-sebab kita kalah pada PRU-14, antara sebabnya dari isu tempatan sendiri. Bila keluar sahaja nama calon banyak peti undi yang ditutup.

“Dah angkat sumpah di dalam dewan yang mulia ini…semua sumpah siapa sahaja pemimpin menamakan sebagai wakil parti untuk pilihan raya, bahawa kita bersumpah Wallahi Wabillahi Watallahi akan menerima tetapi apabila keluar sahaja nama calon banyak peti undi yang tutup. Ini banyak berlaku di banyak tempat, parlimen dan negeri. Ini kita perlu perbetullkan,” tegurnya lagi.

Strategi yang disusun juga pesannya tidak perlu didedahkan kepada pihak-pihak yang tidak sepatutnya.

“Jangan ditelanjangkan UMNO ini. Rahsia tetap rahsia kita, janganlah dedahkan sangat ini nak buat itu nak buat, jangan kita bagi strategi kepada orang yang tak sepatutnya. Perkasakan strategi khas untuk kita.

“Strategi mesti dalam dada, langkah kita jangan dibaca dek orang. Jejak jaga elo-elok. Strategi UMNO buat elok-elok supaya kita faham antara satu sama lain,” ujarnya.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu juga menyeru semua pendukung parti memperbaiki sikap dan tingkatkan semangat.

“Sikap kita yang perlu diperbaiki untuk pastikan perjuangan orang Melayu ini perjuangan yang tidak akan ada noktahnya.

“Perbaikilah kerana dengan sikap yang baik, dengan semangat yang tinggi saya yakin bahawa Pakatan Harapan (PH) yang tak seberapa sangat ini akan dapat kita tewaskan dengan strategi dan gerak kerja yang baik pada PRU-15 nanti, InsyaAllah.

“Sekarang ini pun sedikit demi sedikit kita sudah dapat tewaskan mereka. Penolakan rakyat amat besar tetapi terpulang kepada kita untuk menyambut penolakan tersebut dengan kita meneliti keadaan sekitar bagaimana kita sekarang dan ubahlah mana-mana yang tidak disukai orang supaya orang boleh menerima kita semula dan memberikan kita peluang semula untuk meneruskan perjuangan yang belum ada kesudahannya ini,” serunya lagi, sambil menyatakan keyakinan kedua-duanya mampu menjadi faktor kemenangan.

Mohamad juga menyangkal dakwaan beberapa pihak dahulu kononnya UMNO akan berkubur setelah tewas dalam PRU-14 lalu dengan mengatakan sangkaan tersebut amat meleset sekali apabila melihat komitmen, semangat ahli dan pemimpin yang tetap utuh dan terus bangkit di dalam persidangan kali ini. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.