Jangan Dengar Lagi Cerita ‘Batu Api’ Mengenai Ahli Parlimen UMNO, BN

KUALA LUMPUR, 7 Dis – Ahli parti diingatkan agar tidak mendengar dan mudah terpengaruh dengan segala cerita yang bermain di media sosial serta cerita-cerita daripada ‘batu api’ di luar sana mengenai ahli parlimen UMNO termasuklah ahli parlimen Barisan Nasional (BN).

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid berkata bukan sahaja perpaduan dikalangan ahli parti cukup penting, perpaduan di kalangan ahli parlimen juga memainkan peranan utama.

“Kita mahukan perpaduan bukan sahaja di kalangan ahli-ahli kita tetapi juga di kalangan ahli-ahli parlimen kita. Janganlah dengar cerita-cerita di dalam media sosial, janganlah dengar cerita-cerita daripada batu-batu api terhadap rakan-rakan yang menjadi ahli parlimen yang dikatakan cuba melakukan ‘negotiation’ atau pun berunding dengan seseorang daripada pintu belakang.


“Saya telah bertemu dengan mereka semua dan mereka telah memberikan jaminan kepada saya, mereka akan terus tetap sebagai ahli parlimen UMNO dan BN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2019 yang berakhir petang tadi.

Tambah beliau sebarang tindakan yang akan diakukan adalah secara bersama dan insya-Allah semua pihak bersatu hati.

“Insya-Allah kita berikrar kita akan bersatu hati hanya melalui pintu hadapan untuk kita membentuk kerajaan. Kini terdapat 38 ahli parlimen daripada UMNO termasuk Pekan dan Gua Musang.

“Kami telah membuat keputusan ketika kami bertemu di Hotel Tamu Kg Baru beberapa waktu yang lalu bahawa kami sepakat sebarang tindakan yang dilakukan adalah tindakan secara bersama. Noktah.

“Insya-Allah jika kesatuan ini diteruskan, jika kita siram air dan bukan siram minyak kepada kumpulan kita ini, insya-Allah kesatuan ahli-ahli parlimen UMNO dan BN akan terus dipertahankan,” ujarnya.

Pada masa yang sama beliau turut melihat pindaan perlembagaan parti yang memberikan autonomi kepada UMNO Sabah memberi kelebihan dan manfaat kepada UMNO negeri berkenaan.

“Tepat pada waktunya apabila pindaan perlembagaan UMNO turut memberikan autonomi secara sah kepada UMNO Sabah untuk bergerak sebagai satu entiti.

“Secara kebetulan kita juga akan menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kimanis. Saya amat yakin jika kita membuat keputusan yang terbaik untuk meletakkan calon oleh Datuk Bung Mokhtar dan rakan–rakan, calon BN akan menang insya-Allah,” tambahnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.