Jangan Ada Rundingan Pintu Belakang, Rakyat Mahu Kerajaan Yang Jujur – Johari

KUALA LUMPUR, 7 Dis – Wakil Pergerakan Pemuda UMNO, Johari Yazid berkata Pemuda berharap agar janganlah ada lagi individu-individu parti yang mencuba menjadi ‘hero’ dan membuat spekulasi untuk menjadi kerajaan melalui rundingan pintu belakang.

Katanya, rundingan pintu belakang amat merugikan parti dan UMNO perlulah bersikap ‘gentlemen’ untuk mengambil kembali kerajaan.

“Kepimpinan parti dengan jelas menyatakan bahawa tidak ada rundingan pintu belakang dan apa-apa keputusan perlu berdasarkan ‘en-bloc’ dan perlu mengikut keputusan konsensus parti.

“Kalau kami Pemuda sedia berjuang disaat UMNO kalah kenapa yang di atas merasa risau sangat? Biar kita bertarung sebagai anak jantan di tengah gelanggang berbanding menjadi pondan main belakang,” katanya ketika membahas Usul Ucapan Dasar Presiden di Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Johari yang juga Penolong Bendahari Pemuda UMNO menjelaskan rakyat sebenarnya mahukan kerajaan yang dipilih oleh rakyat menjadi kerajaan yang jujur dan mempertahankan agenda rakyat.

“Kegagalan kerajaan hari ini menjadikan rakyat kini mahukan UMNO kembali menjadi kerajaan dan menginginkan ‘wajah baru dan penjenamaan baru’, maka kita teruskan gerak kerja memenangi hati rakyat, kita canangkan manifesto kemenangan kita kepada kepada rakyat. Pemuda yakin kita mampu memenangi hati rakyat,” katanya lagi.

Dalam pada itu Johari menjelaskan mengenai ekonomi golongan muda dan secara keseluruhannya.

“Pemuda setiap hari mendesak dan terus menggasak kerajaan hari ini agar dapat menyediakan pelbagai peluang kerjaya kepada anak muda seperti yang telah dicanangkan oleh menteri ’tisu koyak’.

“Oleh itu, UMNO perlu menyusun strategi untuk merancang memperkukuhkan ekonomi rakyat khususnya anak muda bagi mewujudkan keseimbangan serta keadilan dalam semua aspek,” tegasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.