Ucapan Dasar Presiden Tumpu Peringatan Penting Untuk Ahli Pelbagai Peringkat – Perwakilan

KUALA LUMPUR, 6 Dis – Ucapan Dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO 2019 dilihat memberi beberapa peringatan penting serta menggariskan tindakan yang perlu disusuli oleh ahli parti pelbagai peringkat.

Ketua UMNO Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias berkata ucapan dasar berkenaan membawa satu mesej yang sangat jelas terutama kepada semua pemimpin UMNO di semua peringkat supaya bersiap sedia daripada sekarang sebagai satu pasukan yang kuat tanpa mengambil apa-apa tindakan, apa-apa langkah yang membelakangkan parti.

“Saya fikir ucapan ini ‘straight forward, yang tegas dan yang penting bagi kita bersiap sedia bagi menghadapi apa jua suasana yang bakal timbul untuk kita mencapai dan juga mengecapi kemenangan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Terdahulu sebelum itu, di Dewan Merdeka, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2019.

Dalam perkembangan sama, mantan Ketua UMNO Besut yang juga Ahli Parlimen kawasan berkenaan, Datuk Seri Idris Jusoh pula berkata beberapa penekanan telah dilontarkan oleh Ahmad Zahid antaranya betapa pentingnya kerjasama antara UMNO dan PAS serta kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) termasuklah Friends Of BN.

Ini katanya telah dilihat mendapat sambutan yang baik daripada rakyat dan percaya apa yang berlaku ini akan terus berkembang sebagaimana PRK Tanjung Piai adalah contoh kejayaan permuafakatan berkenaan.

“Dalam abad sekarang ini pula sememangnya kita perlukan transformasi, perlu berubah dan memang kita tidak mempunyai banyak pilihan dan perlu terus ‘embrace IR 4.0’ dan ini untuk kita terus berjaya dan insya-Allah akan terus berjaya,” ujarnya.

Sementara itu Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera mengucapkan tahniah kepada presiden kerana mengambil intipati daripada ucapan ketua-ketua sayap dan signal yang diutarakan jelas bahawa parti terus bergerak ke depan terutama soal Muafakat Nasional.

“Sepertimana dalam ucapan dasar Ketua Pemuda semalam yang menyebut dengan jelas serta pembahas memberitahu bahawa Muafakat Nasional mesti diinstitusikan dan sebentar tadi pula presiden walaupun tidak menyebut dengan jelas menginstitusikan Muafakat Nasional tetapi diberikan satu signal bahawa Muafakat Nasional ini perlu dah dijadikan pautan kepada rakyat menjelang PRU akan datang.

“Jadi sebagai orang muda, pada saya ianya perlu direalisasikan secepat mungkin agar kerja-kerja menawarkan tawaran baru kepada rakyat, apa visi dan misi Muafakat Nasional serta BN dan paling penting presiden menyatakan dengan jiwa yang besar UMNO mengajak rakan-rakan komponen dan parti-parti Sabah dan Sarawak untuk menyertai Muafakat Nasional,” ujarnya

Manakala Ketua UMNO bahagian Bangi, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain pula berkata Presiden bukan sahaja panduan yang jelas malah memberi satu garis panduan bagaimana ahli untuk terus bergerak.

“Sebagai contoh… perjuangan perlu seiring abad ke-21. Sekarang ini media memainkan peranan yang penting terutama media altenatif. Jadi rakyat sekarang ini mendapat maklumat di hujung jari dan sudah tentulah kita perlu memahami keadaan berkenaan.

“Untuk ‘speed up’ segala maklumat itu disampaikan kepada rakyat di luar sana, kita sebagai pejuang dan petugas parti perlu bertanggungjawab untuk kita memahirkan diri kita dalam media sosial dan sebagainya untuk salurkan info yang positif kepada mereka,” katanya.

Bagi Ketua UMNO Hulu Terengganu, Datuk Rozi Mamat pula melihat amat jelas presiden parti mengingatkan ahli parti supaya terus memperkukuhkan UMNO di semua peringkat.

“Malah ucapannya yang turut menyentuh soal dasar parti yang perlu seiring dengan kehendak rakyat adalah satu perkara yang amat-amat penting. Kita di akar umbi kena memahami apa kehendak serta isi hati rakyat.

“Rakyat bukannya melihat kepada perkara yang besar-besar tetapi caknanya kita kepada mereka yang harus kita perkemaskan dan selaras dengan UMNO sebuah perjuangan,” tambahnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.