Ucapan Dasar Presiden Perjelas Muafakat Nasional Sebagai Tawaran Masa Hadapan

KUALA LUMPUR, 6 Dis – Ucapan terbaik…. Itu pandangan parti komponen dan pemimpin Pas berkaitan ucapan dasar Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2019.

Presiden MIC Tan Sri S A Vigneswaran berkata, Muafakat Nasional yang ditegaskan dalam ucapan Presiden UMNO adalah sesuatu yang baik malah MIC sendiri mendokong kerjasama tersebut.

“Muafakat Nasional adalah antara UMNO dan PAS tapi sebagai parti komponen dalam BN, MIC menyokong penuh kerjasama ini. UMNO dan PAS adalah entiti yang berbeza jadi bila mahu bekerjasama mereka harus mempunyai satu perjanjian dan itulah Muafakat Nasional sekaligus membuktikan ketelusan.

“Tak bolehlah kita bekerjasama tapi lepas sudah dapat apa yang kita hendak UMNO pinggirkan PAS atau sebaliknya. Kita kena jaga silaturrahim ini,” ujar beliau kepada media selepas turut serta mendengar ucapan dasar Presiden UMNO di Dewan Merdeka hari ini.

Pemuda MCA, Nicole Wong Siaw Ting berpandangan, ucapan Presiden UMNO telah mencatat satu ‘new route map’ dan ‘new deal’ yang baik untuk masa hadapan yang lebih stabil dan kukuh.

“Apa yang disampaikan oleh Datuk Seri Zahid saya yakin dapat merapatkan semua parti komponen dalam BN dan blok pembangkang itu sendiri,” jelas beliau.

Setiausaha Agung PAS, Datu Takiyuddin Hassan pula berkata, ucapan Presiden UMNO adalah satu ucapan yang baik kerana menekankan bukan sahaja dalam parti UMNO tetapi kepada perkembangan semasa dalam negara.

“Penekanan terhadap Muafakat Nasional itu juga amat tepat. Dalam rangka kita bukan sahaja nak mengembangkan naratif Muafakat Nasional itu setakat UMNO dan PAS tetapi ditekankan kepada semua kaum lain malahan Sabah dan Sarawak. Bagi saya ini adalah satu pendekatan yang sebenar,” ujar beliau.

Untuk rekod, antara yang ditekankan oleh Zahid dalam ucapan dasar adalah Muafakat Nasional yang diilhamkan daripada Himpunan Penyatuan Ummah UMNO dan PAS serta dipersetujui oleh MCA, MIC dan semua pihak yang setia dengan BN.

Menurut beliau, Muafakat Nasional adalah tawaran baharu kepada masa depan rakyat negara ini. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.