Teks Ucapan PAU 2019: Laporan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa

1.0 SELAMAT DATANG

1.1. Selamat Datang Ke Perhimpunan Agung UMNO 2019 – Sebuah Perjuangan Bangsa

1.2. Tanam Pinang Rapat-rapat
Supaya Senang Puyuh Berlari
UMNO Ini Parti Keramat
7 Dekad Tegak Berdiri

1.3. Kalau Roboh Kota Melaka
Papan Di Jawa Kami Dirikan
Demi Agama Bangsa dan Negara
Badan Dan Nyawa Kami Serahkan

Sidang Perwakilan Sekalian,

2.0 SIRI PILIHAN RAYA KECIL & PRESTASI BARISAN NASIONAL

2.1. Dengan kehendak Allah SWT, kita telah diuji dengan satu siri 4 kali Pilihanraya Kecil tahun ini. Namun Alhamdulillah, Berkat Muafakat Nasional, UMNO dan Barisan Nasional telah memenangi kesemua keempat-empat Pilihanraya Kecil bermula dengan

2.2. i) Pada 26 Januari 2019, Barisan Nasional berdepan DAP, berjaya mempertahankan Cameron Highlands dengan MAJORITI LEBIH BESAR, YB Tuan ACP Ramli b. Mohd Nor dinobatkan sebagai orang asli yang pertama menjadi Ahli Parlimen yang dipilih secara demokratik.

ii) Pada 2 Mac 2019, giliran Barisan Nasional berdepan Calon Bersatu, Barisan Nasional berjaya MERAMPAS KERUSI DUN SEMENYIH, yang dulunya tewas majoriti 8,964 undi, kali ini menang dengan 1,914 majoriti. Tahniah kepada YB Tuan Hj Zakaria bin Hanafi.

iii) Pada 13 April 2019, PKR pula diuji Barisan Nasional. Barisan Nasional melalui calonnya Dato’ Seri Utama Mohamad b Hasan dengan mudah mengalah calon PKR dengan majoriti 4,510 undi.

iv) Kemuncak dan final PRK 2019, Barisan Nasional bersama Muafakat Nasional telah menawan semula kerusi Parlimen Tg Piai dari BERSATU, dengan mencipta rekod MAJORITI TERBESAR 15,086 undi.

2.3. Barisan Nasional menawan semua 27 PDM dan memenangi 124 daripada 125 saluran mengundi. Barisan Nasional memperolehi 85% daripada undi Melayu berbanding hanya 11% Pakatan Harapan .

Barisan Nasional memperolehi hampir 50% undi bukan Melayu berbanding hanya 40% PH. Tahniah ! YB Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng.

2.4. Ikan Kekek Mak Eloi Eloi
Ikan Gelama Mak Ilai Ilai
Penat Sedikit Tapi Berbaloi
PH Terkencing, di Tanjong Piai

2.5. Pucuk Pauh Delima Batu
Anak Semilang DiTapak Tangan
Di Tanjong Piai Tewaskan Bersatu
Di PKR Kimanis, Tewaskan WARISAN

3.0 TETAMU PAU 2019

3.1. Pada tahun ini, Perhimpunan Agung kita lebih istimewa dan lebih ceria dari tahun lalu, dengan kehadiran lebih ramai para tetamu undangan khas

3.2. UMNO ingin pertamanya mengalu-alukan kehadiran Murabbi Ummah Tuan Guru Hj Ab Hadi Awang yang hadir buat pertama kali ke Perhimpunan Agung UMNO bersama 30 Ahli Jawatankuasa Pusat PAS, pimpinan Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Dewan Ulamak. Sesungguhnya Muafakat dan kerjasama UMNO-PAS adalah anugerah Illahi – bertepatan dengan Prinsip Agama kita.

3.3. UMNO juga ingin mengalu-alukan hampir 30 duta asing dan Perwakilan Negara Sahabat ke Perhimpunan Agung UMNO tahun ini. Iaitu ;

Mereka Tuan-tuan Yang Terutama Duta-duta dan Wakil Negara ,

Excellencies,
I would also like to take this opportunity to warmly welcome the High Commissioners, Ambassadors and foreign representatives present with us here this morning. On behalf of the United Malays National Organisation (UMNO), we very much appreciate your presence and are profoundly delighted to have you in attendance at the 2019 UMNO General Assembly.

Once again thank you your excellencies.

3.4. Seterusnya Perhimpunan Agung UMNO 2019, ingin mengalu-alukan Presiden-presiden Parti Sahabat :-
– YBhg Datuk Syed Ibrahim Kader
Presiden Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA)
– YBhg Dato T Loganathan
Presiden Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF)
– YBhg Tan Sri Dato S Nallakarupan
Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP)
– YBhg R.S. Thanenthiran
Presiden Makkal Sakti
– YBhg Dato Huan Cheng Guan
Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM)

SELAMAT DATANG

4.0 TAMU-TAMU MUDA

4.1. UMNO, sebuah parti yang sentiasa dijulang oleh pejuang-pejuang muda. Anak Muda ada aset negeri yang tidak ternilai. Anak Muda yang baik lagi beriman serta mendapat keredhaan Allah SWT seperti yang digambarkan dalam

(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami”.

Surah Al-Kahfi Ayat 13:
Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.

4.2. Justeru marilah kita mengalukan kehadiran 17 Perwakilan Khas KELAB-KELAB UMNO LUAR NEGARA dari 6 buah Negara.

4.3. Seterusnya, UMNO berbangga, telah muncul anak-anak muda disegenap pelusuk kampus Menara Gading, di seluruh Negara

Mereka yang dulunya dirujuk sebagai Mahasiswa Nasional, kini lebih berani dan menggelarkan diri mereka SISWA UMNO. Mereka rela dan redha membawa nama dan perjuangan UMNO. Marilah kita berikan penghargaan kepada 62 Perwakilan Siswa UMNO yang hadir bersama kita hari ini.

4.4. Mantan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan Menteri Belia dan Sukan, Saudara Khairy Jamaluddin telah melahirkan gagasan Ahli Parlimen Belia. Mereka adalah Pemimpin Muda yang dipilih dikalangan mereka dan terlibat secara langsung dalam program ala Parlimen Malaysia. Program ini dikendalikan hingga kini di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

UMNO turut mengundang mereka. Marilah kita alu-alukan hampir 50 Ahli Parlimen Belia Malaysia.
Selamat Datang Anakanda ku Pejuang Muda, Harapan Bangsa.

4.5. UMNO adalah sebuah gerakan rakyat. Walau UMNO dilandasan politik kepartian tapi di luar sana terdapat satu rangkaian NGO / NGI yang tidak kurang pentingnya dalam membangun negara tercinta.

Tahun ini UMNO memberikan penghormatan kepada mereka. Marilah kita sambut kehadiran 100 pemimpin NGO seluruh Negara mewakili masyarakat madani, belia, peneroka, pesawah, peladang, penggiat seni dan sebagainya.

Selamat Datang Ke Perhimpunan Agung UMNO dan Tema “UMNO Sebuah Perjuangan”

5.0. PERJALANAN MESYUARAT CAWANGAN, BAHAGIAN DAN KONVENSYEN

5.1. Yang Berhormat Dato’ Seri Presiden dan Sidang Perwakilan sekalian.

5.2. Perwakilan Bahagian bermula 15 Jun hingga 15 Ogos 2019 membabitkan 191 Bahagian. Semua mesyuarat kali ini diadakan dengan penuh meriah di semua Bahagian-bahagian.

5.3. Konvensyen Negeri termasuklah di Sabah juga telah selamat disempurnakan dengan dirasmikan oleh Presiden parti. Konvensyen dan Mesyuarat UMNO berjalan dengan tertib, aman tanpa sebarang insiden tidak diingini.

6.0. BILANGAN KEAHLIAN DAN CAWANGAN

6.1. Sidang Perwakilan sekalian. UMNO adalah sebuah parti akar umbi parti rakyat. Yang belot perlu dinyahkan.

6.2. Lantaran itu, UMNO telah melaksanakan proses pemutihan keahlian yang bermula pada Oktober 2018 dan berakhir pada 15 Februari 2019.

6.3. Pemutihan keahlian UMNO melibatkan pembersihan hanya 2% dikesan menjadi ahli parti lawan, sebahagian telah menyesal dan ada yang mula memohon untuk kembali, 4% menyokong parti lawan tidak setia semasa PAU lalu dan 4% ahli meninggal dunia.

6.4. Setelah melalui pelbagai proses termasuklah pemutihan, dilaporkan sehingga ke tarikh 5 Disember 2019, jumlah ahli biasa UMNO ialah 3,292,667 ahli sementara jumlah bilangan cawangan UMNO ialah 22,156 cawangan.

6.5. Patah Tumbuh Hilang Berganti. Pelancaran portal pendaftaran ahli UMNO secara Online telah dilakukan pada 6 Mei 2019. Hasilnya sehingga kini seramai 11,363 orang telah mendaftar masuk.

6.6. UMNO telah mewujudkan sistem memproses keahlian dibuat di Bahagian-bahagian di bawah sistem ini, UMNO telah menerima 28,000 ahli baru.

7.0. SISTEM PACU, MAWAR, JUARA DAN MEMANTAPKAN PENTADBIRAN DAN PENERANGAN

8.1. Pengurusan UMNO amat tersusun, hasil dan jasa kepimpinan terdahulu. Penghargaan kepada Mantan Setiausaha Agung UMNO terdahulu khusus Datuk Seri Tengku Adnan bin Tengku Mansor, Setiausaha Agung UMNO yang ke 13.

8.2. Tahun ini Portal Ahli dan Cawangan UMNO (PACU) mula digunakan pada Februari 2019. Sistem ini membolehkan kelulusan keahlian diperturunkan kepada Bahagian. Nombor keahlian boleh diberi secara online. Selaras dengan prinsip empowerment pentadbiran akar umbi. Segala data keahlian di bahagian dan cawangan berkenaan boleh di akses terus oleh pentadbiran bahagian tanpa perlu ke Ibu Pejabat parti.

8.3. Seterusnya selain itu, Pengkalan Data Daftar Pemilih telah diintegrasikan dibawah Sistem Maklumat War Room (MAWAR). Ia mula digunakan pada September 2019. Penubuhan Jabatan Pengurusan Pilihanraya (JUARA) pula bermula Oktober 2019 oleh Majlis Tertinggi UMNO. Juara menyediakan aplikasi kepada pengkalan data daftar pemilih di setiap Parlimen, Pusat Daerah Mengundi (PDM), Lokaliti dengan Pengurusan Data Besar (BIS Data) secara bersepadu, boleh di kongsi terus oleh semua Bahagian. Juara juga menyediakan SOP Pilihanraya serta teknik dan kaedah merancang dan menguruskan pilihanraya secara sistematik.

Untuk memantapkan aktiviti penerangan UMNO juga mewujudkan Jabatan Komunikasi Strategik, agar parti menjadi lebih berkesan dalam menyampaikan mesejnya kepada rakyat.

8.4. Bagi memantapkan lagi pentadbiran Ibu Pejabat UMNO juga telah melaksanakan ‘Seminar Pentadbiran UMNO’ di setiap negeri yang bermula 17 Ogos 2019. Semua ini dilaksana bagi memastikan UMNO terus diurus dengan gerak kerja bersepadu dan holistik berterusan.

8.5. Blueprint PRU, sedang disediakan dengan kerjasama setiap Negeri. Blueprint ini akan mengatur secara strategik, segala langkah terperinci menghadapi Pilihanraya Umum ke 15. InsyaAllah. Blueprint ini menjadi asas pelan tindakan Muafakat Nasional yang sedang diusahakan bersama PAS dan lain-lain.

8.6. Pulau Pandan Jauh Ke Tengah
Gunung Daik Bercabang Tiga
Blueprint Pastikan PH Kalah
Muafakat Nasional ke Putrajaya

9.0. HIMPUNAN PENYATUAN UMMAH, PIAGAM MUAFAKAT NASIONAL
YBhg Tan Sri Pengerusi Tetap,

9.1. Keborokan kerajaan hari ni khususnya kegagalan dalam menegak dan mempertahankan Agama Islam selain pelbagai penghinaan kepada Rakyat dan Raja-raja sedang dirasai oleh semua. Mereka ini memegang tampuk kuasa bukan sahaja kerana kelicikan mereka mencerca serta berdusta, tetapi juga angkara perpecahan kita sesama kita.

9.2. Presiden UMNO telah mengambil insiatif membina semula perpaduan yang rosak dan Ukhuwah Islamiah. Beliau merintis satu ikatan yang meletakkan kepentingan Agama dan Bangsa di landasan baru dengan menjalin kerjasama dengan saudara yang selama ini menjadi seteru politik iaitu PAS. Bermula dengan kunjungan ke Marang, bersambung di Pasir

Salak dan seterusnya Himpunan Bersama Menentang ICERD. Segalanya berjalan atas prinsip taawun demi kebaikan rakyat.

9.4. Gerakan dilancarkan di seluruh Negara, kemuncaknya ialah HPU 914 dan termeterailah satu piagam yang dikenali sebagai Piagam Muafakat Nasional.

9.5. Program Penyatuan Ummah menjelajah keseluruh Negara, dibawa kesetiap negeri, bahagian dan cawangan. Pemimpin UMNO dan PAS bukan hanya sepentas, tapi seiring sejalan menerajui agenda besar bersama tanpa meninggalkan sesiapa. Muafakat Nasional lahir umpama terbitnya matahari setelah malam yang panjang.

9.6. Lantaran itu, kesungguhan dalam melaksanakan kerjasama diperkukuh melalui Himpunan Penyatuan Ummah yang menjadi realiti pada 14 September 2019.

9.8. Terkini saya ingin melaporkan sebuah Sekretariat Tetap Muafakat Nasional telah diujudkan di Menara Dato’ Onn, PWTC. Sekretariat ini sedang mengambil langkah bersama realisasikan gerakan baru Muafakat Nasional, berdasarkan perakuan JK Teknikal dan JK Pemandu yang dibentuk bersama oleh UMNO & PAS

10.0. TABUNG PERJUANGAN

Sukacita saya memaklumkan sebuah Tabung untuk membantu UMNO telahpun ditubuhkan dengan nama UMNO-TABUNG PERJUANGAN. Melalui tabung ini berjihadlah kita, mengumpul dana untuk parti kita.

Bantuan disalurkan kepada:

UMNO – Tabung Perjuangan
CIMB Bank Berhad
No. Akaun : 86-0325726-6
Mula Beroperasi 5 Disember 2019 (Khamis)

11.0 PERHIMPUNAN AGUNG UMNO
YBhg Tan Sri Pengerusi Tetap,

11.1. Semalam Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri telah menyempurnakan persidangan masing-masing. Hari ini, Perhimpunan Agung UMNO 2019 bersidang dengan jumlah perwakilan seramai 2,695 orang.

11. PENUTUP
Urusetia doakan Perhimpunan Agung berjalan lancar. Terima kasih semua petugas, Skuad Sabil, Para Perwakilan , Pemerhati dan Rakyat. Bagi pihak Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan Urusetia terima kasih kepada semua.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.