Suara UMNO Untuk Tegakkan Kepentingan Rakyat Pelbagai Kaum

KUALA LUMPUR, 6 Dis – UMNO akan tetap mempertahankan kepentingan rakyat dan keadilan sosial berpaksikan kepada kedaulatan undang-undang, sejajar dengan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata biarpun sebagai pembangkang, suara UMNO untuk menegakkan hak rakyat semua kaum akan terus bergema.

“Biarpun kita tewas oleh fitnah dan pembohongan keji pada pilihan raya umum lalu, ia tidak sedikit pun mengubah dasar perjuangan UMNO. Biarlah mereka mentertawakan kita hari ini, masa akan menentukan, Allah akan menentukan,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden di Perhimpunan Agung UMNO 2019 di sini, hari ini.

Di dalam sistem demokrasi, ujarnya, rakyatlah yang menjadi kuasa penentu kepada turun-naiknya sesebuah parti, dan inilah yang bakal menentukan masa depan UMNO dan Pakatan Harapan (PH) pada PRU15 nanti.

“Rakyat yang menentukan kelangsungan UMNO, maka dengan itu kita bertanggungjawab penuh untuk merekayasa parti sesuai dengan kemahuan dan aspirasi mereka.

“Untuk itu, UMNO perlu mempercepatkan pembaharuan nilai, ideologi dan pemikiran politik. Kita pernah terperangkap dalam pemikiran dan budaya politik kurun ke-20 yang menghindari idea bernas dan kepentingan nilai.

“Begitu juga amalan budaya politik yang memusat kepada kuasa dan pengaruh serta budaya politik yang elitis, budaya ‘kenang jasa’ dan sebagainya.”

Oleh itu, Dr Zahid mengingatkan ahli supaya menyediakan UMNO dengan sebuah pakej politik baharu dan meninggalkan amalan lama yang tidak lagi berkesan.

“Arus modenisasi telah mengubah masyarakat menjadi lebih terbuka dan berlainan paradigmanya. Jika dahulu pendokong kuat UMNO terdiri daripada kalangan Melayu luar bandar, namun hari ini penduduk luar bandar hanyalah 24 peratus jumlahnya.

“In iberikutan proses urbanisasi sebagai sebahagian proses modenisasi yang perlu disantuni UMNO,” ujarnya.

Jika UMNO mahu terus relevan, beliau berkata ia perlu menterjemahkan segala dasar dan tindakan mengikut hasrat rakyat manakala setiap ahli perlu peka dengan setiap keperluan, keperitan, kemahuan dan cita-cita.

“UMNO perlu menjadi jurubicara rakyat. Kitalah benteng mereka. Transformasi UMNO perlu seiring dengan kehendak politik abad ke-21. Modenisasi politik UMNO bukan lagi satu pilihan tetapi satu kemestian. ‘It is not an option, but a must’.

“Parti hendaklah membina sumber manusianya sendiri dengan pemikiran terkini yang berpusat kepada matlamat dalam Perlembagaan UMNO. Kita perlu kepada pembaharuan nilai, pemantapan ideologi dan pencernaan pemikiran politik terkini,” katanya.

UMNO yang sebelum ini tidak pernah jadi pembangkang dan tidak ada pengalaman sebagai pembangkang, perlu digerakkan secara lebih berteras dengan gandingan parti komponen dalam BarisanNasional iaitu MCA dan MIC, rakan baharu PAS dan parti-parti sahabat dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.