Pindaan Perlembagaan Parti Selaras Naratif Politik Baharu – Dr Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 6 Dis – Pindaan beberapa Fasal dalam Perlembagaan UMNO adalah bertujuan untuk menjadikan parti selaras dengan naratif politik baharu, ujar Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ujarnya, pindaan yang dibentangkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin itu akan menyentuh beberapa Fasal seperti kedudukan Pergerakan Wanita, keahlian ahli bersekutu, autonomi politik Sabah dan lain-lain lagi.

“Pindaan ini dilakukan untuk memastikan kelangsungan bahtera UMNO belayar megah walaupun dilanda ombak, badai mahupun tsunami politik. Kita bertanggungjawab penuh untuk merekayasa UMNO sesuai dengan kemahuan dan aspirasi rakyat.

“Justeru UMNO perlu mempercepatkan pembaharuan nilai, ideologi dan pemikiran politik.

“Kita pernah terperangkap dalam pemikiran dan budaya politik kurun ke-20 yang menghindari idea bernas,” katanya dalam Ucapan Dasar Presiden di Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Perhimpunan Agung UMNO pada kali ini julung kali tampil kelainan apabila barisan kepimpinan UMNO dan presiden parti komponen Barisan Nasional (BN) serta Presiden PAS sepentas bagi memulakan acara dalam Dewan Merdeka, hari ini.

Jika tahun-tahun sebelum ini, hanya barisan kepimpinan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berada di atas pentas namun kali ini, Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah; Pengerusi Lembaga Penasihat BN Datuk Seri Mohd Najib Abd Razak; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran dan juga Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang diberi penghormatan.

Tambah Dr Zahid lagi UMNO harus bersedia meninggalkan budaya negatif tersebut demi untuk melangkah ke hadapan menghadapi cabaran mendatang.

“Arus modenisasi telah mengubah masyarakat tradisional Melayu kepada masyarakat yang bersifat lebih terbuka dan berlainan paradigmanya.

“Jika dahulu pendokong kuat UMNO terdiri daripada kalangan orang Melayu luar bandar, tetapi hari ini penduduk luar bandar hanyalah sekitar 24 peratus jumlahnya.

“Ini berikutan proses urbanisasi sebagai sebahagian proses modenisasi yang perlu disantuni oleh UMNO,” katanya.

Dr Zahid turut berkata pelantikan Tengku Razaleigh sebagai Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO dan Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN mencatatkan satu sejarah dalam parti.

Ia juga ujarnya merupakan antara usaha parti dalam keterangkuman tenaga pemimpin berpengalaman untuk terus menyumbang kepada parti dan seterusnya memantapkan UMNO dan BN demi satu matlamat iaitu mencapai kemenangan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.