Kelab Mahasiswa UMNO Dilancar, Jadi Suara Perjelas Perjuangan Parti

KUALA LUMPUR, 6 Dis – Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini melancarkan Kelab Mahasiswa UMNO Universiti di bawah Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Kelab Mahasiswa UMNO ini ditubuhkan berikutan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun yang diluluskan hasil pindaan Perlembagaan baru-baru ini di Parlimen dan juga atas kerana Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sudah pun membenarkan mahasiswa terlibat dengan dunia politik.

Wakil pelajar kelab ini, Ahmad Al Mubarak berkata, gerakan mahasiswa sebenarnya telah lama wujud namun kerana kekangan AUKU maka penglibatan mahasiswa agak terbatas.

“Namun hari ini apabila akta AUKU dipinda maka tercatatlah sejarah bagi mahasiswa dan UMNO apabila Pemuda UMNO Malaysia mengiktiraf kami sebagai salah satu sayap di bawah pergerakan Pemuda.

“Mahasiswa UMNO akan menjadi suara dan ajen kepada UMNO untuk menerangkan apa perjuangan parti ini,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Ketika ditanya mengapa anak muda menolak BN dan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu, jelas Ahmad, ketika itu anak muda menolak UMNO kerana persepsi yang dimainkan oleh pembangkang ketika itu.

“Tetapi hari ini anak muda sudah sedar bahawa kerajaan hari ini hanyalah populis. Mereka hanya berjanji pada anak muda tetapi tidak ditunaikan.

“Mahasiswa juga mula nampak bahawa UMNO sebagai sebuah parti yang telah lama mentadbir negara sememangnya menjaga kebajikan mahasiswa dalam dan luar negara. Kerajaan hari ini bukan sahaja janji tidak ditunaikan malah segala bantuan yang diberikan oleh kerajaan dulu ditarik satu persatu.

“Kerana itu mahasiswa berasa tertekan dan inilah platform terbaik yang kami ada untuk terus bangkit dan pastikan kerajaan menjaga kebajikan mahasiswa. Jika kerajaan terus mengabaikan kami maka kami akan bangun dan lawan kerajaan hari ini,” tegas beliau. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.